Social Icons

14.04.1895 - PEMASYHURAN UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN JOHOR


Pada hari ini 14.4.1895 bersamaan 8 Syawal tahun 1312H, Sultan Abu Bakar telah mengadakan satu istiadat di Johor Bahru kerana menandatangani dan pemasyhuran Undang-undang Tubuh Kerajaan iaitu Perlembagaan bagi negeri Johor yang telah disediakan oleh Jemaah Menteri-menteri  Baginda yang dibantu oleh sebuah syarikat peguam di Singapura, Rodyk and Davidson. 

Dalam istiadat ini Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor itu telah ditandatangani oleh Sultan Abu Bakar, adinda baginda Ungku Muhamad Khalid Ibni Almarhum Temenggung Ibrahim dan Tunku Mahkota Ibrahim. Perlembagaan ini ditandatangani juga oleh Ahli-ahli Jemaah Menteri dan ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Johor.

Di antara kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan itu ialah:
  1. Syarat-syarat bagi melantik atau menabalkan Sultan serta menetapkan wang-wang perbelanjaan dan aturan-aturan bagi menggantikan Sultan Johor itu hingga berketurunan;
  2. Peraturan-peraturan dan kewajipan-kewajipan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri;
  3. Aturan-aturan berkenaan dengan agama dalam negeri Johor;
  4. Menetapkan asas hukuman-hukuman undang-undang yang akan dijalankan di dalam mahkamah-mahkamah keadilan; dan
  5. Mengenai perjanjian dengan negara-negara asing.
Undang-undang Tubuh ini kemudiannya diwartakan pada 14hb September, 1895 (24 Rabiul-Awal 1333). Semenjak ia diperakukan dan dimasyhorkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor ini telah mengalami empat kali tambahan yang berlaku di sepanjang pemerintahan Sultan Ibrahim.
  • Perubahan pertama pada 1 April 1908
  • Perubahan kedua pada 17 September 1912
  • Perubahan Ketiga pada 12 Mei 1914
  • Perubahan Keempat pada 17 Julai 1918
Di antara Kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu dalam kurun Masihi yang ke 19, Kerajaan Johorlah yang mula-mula memakai Undang-undang Tubuh yang bertulis. Teks asal Undang-undang Tubuh 1895 hingga 1908 adalah ditulis dalam tulisan Jawi. Undang-undang ini (1895-1918) masih terpakai bagi Kerajaan Johor hingga sekarang.