Social Icons

Majalah 3: KEMAHKOTAAN DYMM SULTAN IBRAHIM SULTAN JOHOR

Majalah 3 Khas: Temuramah eksklusif bersama DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Istiadat Kemahkotaan baginda.

Majalah 3: KEMAHKOTAAN DYMM SULTAN IBRAHIM SULTAN JOHOR 1



Majalah 3: KEMAHKOTAAN DYMM SULTAN IBRAHIM SULTAN JOHOR 2




BUKU SEJARAH ADAT ISTIADAT JOHOR


LAKAR SEJARAH SETELAH 55 TAHUN

TUMPUAN orang ramai terutamanya rakyat Johor terarah ke Istana Besar, Johor Bahru yang akan menjadi lokasi bersejarah Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 23 Mac ini.

Bermula 16 Mac lalu, setiap hari pasti ada upacara yang diadakan termasuk raptai untuk memastikan istiadat berkenaan berlangsung lancar dan meriah seperti yang diinginkan.

Malah, Tuanku Sultan turut berkenan hadir menyaksikan sendiri persiapan bagi memastikan semua berlangsung dengan baik untuk membolehkan rakyat jelata bersama-sama memeriahkannya.

Sultan Ibrahim menyedari, istiadat tersebut bukan ‘milik’ baginda dan kerabat sahaja, malah sebenarnya ‘khazanah’ rakyat dan negeri Johor sejak kewujudan Johor moden yang diwarisi daripada moyang baginda.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyaksikan raptai sempena Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Besar Johor Bahru, baru-baru ini. Utusan/RAJA JAAFAR ALI
Justeru, baginda yang memang terkenal sebagai seorang Sultan yang berjiwa rakyat sanggup turun padang untuk memastikan istiadat yang kali terakhir diadakan kira-kira 55 tahun itu dapat dinikmati dan dikongsi bersama rakyat jelata.

Sultan Ibrahim bukan sahaja memantau semua persiapan dan kelengkapan yang digunakan dalam istiadat tersebut nanti, malah sanggup melawat ke Pusat Media yang diwujudkan di Dewan Jubli Intan yang terletak berhampiran Istana Besar bagi memastikan wakil media tempatan dan asing dapat membuat liputan istiadat berkenaan dengan baik, selesa dan mendapat maklumat yang tepat.

Bagi sesetengah pihak khususnya generasi muda, istiadat berkenaan mungkin yang pertama dan pasti teruja untuk menyaksikannya. Memandangkan bukan semua rakyat berpeluang hadir ke Istana Besar, kerajaan negeri akan memasang layar gergasi di beberapa lokasi tumpuan ramai serta disiarkan secara langsung di televisyen untuk tatapan seluruh rakyat negara ini.

Malah, kesudian Tuanku Sultan bersama Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menaiki kenderaan khas melalui beberapa batang jalan utama di bandar raya Johor Bahru turut memberi peluang kepada rakyat jelata untuk merakamkan detik bersejarah berkenaan.

Berdasarkan program, Tuanku Sultan dan Tuanku Raja Zarith Sofiah turut berkenan menghadiri Istiadat Siram Tabal petang esok. Difahamkan, air yang digunakan pada istiadat berkenaan diambil dari tujuh batang sungai di setiap daerah di negeri ini.

Memandangkan Istiadat Kemahkotaan ini adalah peristiwa yang amat bersejarah, memang wajar keputusan kerajaan negeri mengisytiharkan 23 Mac ini sebagai cuti umum negeri.

Justeru, bukan sahaja semua petugas jabatan dan agensi kerajaan patut menggunakan cuti umum berkenaan untuk menyaksikan dan memeriahkan istiadat penting itu, malah syarikat swasta juga perlu memberikan cuti kepada pekerja masing-masing untuk bersama-sama meraikannya.

Tindakan memberi cuti peristiwa itu juga jelas melambangkan taat setia kepada Sultan dan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Malah Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam satu sidang akhbar sebelum ini mengakui Istiadat Kemahkotaan itu amat istimewa dan eksklusif tetapi mengandungi ciri-ciri yang pernah dilakukan dalam istiadat sebelumnya untuk mengekalkan dan memperkayakan budaya istana.

Kali terakhir Istiadat Kemahkotaan diadakan pada 10 Februari 1960 ketika Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim dimahkotakan.

Sebagai kenang-kenangan, Pos Malaysia akan turut menjual setem yang direka khas sempena istiadat berkenaan dalam denominasi 60 sen, 80 sen dan RM1 serta sampul surat hari pertama mulai 23 Mac ini.

Justeru, seluruh rakyat, khususnya anak Johor dijemput menyaksikan dan meraikan serta menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena Istiadat Kemahkotaan berkenaan.


Kembara Mahkota Johor, Eratkan Hubungan Raja dan Rakyat

Oleh Nor Baizura Basri


JOHOR BAHARU (Bernama) -- "Raja dan rakyat berpisah tiada".

Ungkapan yang sangat bertepatan dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sejak bertakhta empat tahun yang lepas.

Selepas kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baharu pada 23 Jan, 2010 di Istana Besar.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dato' Haji Abdul Rahim Bin Ramli berkata antara idea yang diperkenalkan Sultan Ibrahim termasuk Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang bertujuan merapatkan jurang hubungan antara istana dan rakyat jelata.

Dalam satu temuramah di pejabatnya baru-baru ini, beliau berkata kembara tahunan itu yang bermula sejak tahun 2001 membawa baginda dan rombongan pengiringnya menjelajah ke seluruh 10 daerah dalam negeri Johor.

Semasa jelajah itu mereka juga menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan projek kebajikan bagi setiap lapisan masyarakat.

KEPIMPINAN SULTAN IBRAHIM TERSERLAH SEJAK KECIL

Abdul Rahim berkata kepimpinan Sultan Ibrahim terserlah sejak baginda kecil lagi dan ia lebih ketara lagi selepas dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai, 1981.

"Sebelum dilantik menjadi raja pun, semasa baginda menjadi Tunku Mahkota Johor, baginda suka merapatkan diri dengan rakyat," katanya.

Abdul Rahim, yang menjadi Setiausaha Kerajaan negeri pada 1985 itu telah diamanahkan oleh Almarhum Sultan Iskandar pada ketika itu untuk memimpin dan mendidik baginda menjadi seorang raja.

"Sultan Ibrahim, pada masa itu amat gemar menunaikan titah Almarhum Sultan Iskandar termasuklah tunaikan solat fardhu Jumaat pada setiap minggu di semua masjid dalam negeri Johor.

"Baginda telah menjelajah ke semua masjid di negeri Johor untuk menunaikan fardhu Jumaat dan lain-lain waktu solat termasuk solat terawih di kampung-kampung dan bermesra dengan rakyat," kata beliau.

KEMBARA MAHKOTA JOHOR LEGASI SULTAN IBRAHIM DEKATI RAKYAT

Mengenai kembara itu, Abdul Rahim berkata ia adalah satu "trademark" bagi institusi Sultan Ibrahim dan ia memberikan peluang bagi Raja berdamping dengan rakyat dan di sebaliknya.

"Inilah satu-satunya raja Melayu yang turun ke padang sekerap yang boleh tanpa protokol untuk bertemu dengan rakyat tiap-tiap tahun. Tuanku memang gemar bermesra dengan rakyat tanpa ada protokol," kata beliau.

Beliau berkata pada masa lain, Sultan Ibrahim turut berangkat bersendirian membeli juadah yang dijual di warung-warung semasa bulan Ramadan dan pergi membuat lawatan mengejut ke kampung-kampung untuk melihat sendiri kebersihan dan keamanan di situ.

"Inilah satu tabiat semulajadi Tuanku dan Raja-Raja Johor dan anak-anak Raja Johor, sentiasa mengambil berat akan kebajikan rakyat. Kita rasa amat bertuah, amat menjunjung tinggi atas keprihatinan dan limpah pandangan Tuanku yang luas kepada rakyat," kata Abdul Rahim.

Beliau berkata Sultan Ibrahim pernah bertitah rakyat negeri Johor terdiri daripada semua bangsa dan dihimpunkan sebagai "Bangsa Johor" .

"Dengan adanya kumpulan yang dikatakan Bangsa Johor yang sehati, yang hidup aman damai, bermuhibbah, bersatu padu dan bekerjasama. Itulah satu sebabnya, mengapa negeri Johor terus bertambah maju," tambah beliau.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN BAGINDA

Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 Nov, 1958 di Hospital Besar Johor Baharu dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman dan Maktab Sultan Abu Bakar.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School Sydney, Australia dari tahun 1968 hingga 1970.

Sekembalinya baginda ke Johor, Sultan Ibrahim menjalani latihan asas ketenteraan selama enam bulan di Pusat Latihan Darat sebelum meneruskan latihan "Airborne and Infantry Officers Basic Course" di US Army Infantry School, Fort Benning dan John F. Kennedy Special Warfare Center and School di Fort Bragg, Amerika Syarikat bagi kursus "Special Forces Officer Course".

Ketika menjalani kedua-dua kursus ini, baginda telah menjalankan 11 penerjunan payung terjun dari pesawat pada waktu siang dan lapan kali ketika waktu malam sebelum dianugerahkan "sayap" sebagai komando.

Selain latihan ketenteraan, baginda turut mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang dan diplomasi di Tufts University, Amerika Syarikat dan menjalani latihan pentadbiran negeri semasa ditempatkan di pejabat-pejabat kerajaan.

WAWASAN BAGINDA UNTUK NEGERI JOHOR

Selain mendekati rakyat, Sultan Ibrahim juga berusaha memastikan pembangunan negeri Johor berada di landasan yang betul seiring dengan keutamaan baginda melihat pembangunan membawa manfaat kepada rakyat.

"Apa juga pembangunan yang dirancang, faedah pertama mesti kepada rakyat negeri Johor. Keutamaan baginda adalah kebajikan dan kebaikan rakyat negeri Johor dari mula lagi," kata Abdul Rahim.

Sultan Ibrahim mempunyai wawasan sendiri dan selalu berpandangan jauh terutama bila menyentuh isu berkaitan pembangunan dan negeri Johor.

"Kalau kita perhatikan Tuanku ini, ikut cara Sultan Abu Bakar Sultan Ibrahim yang wawasannya jauh. Baginda berpemikiran di luar kelaziman, boleh nampak halatuju negeri Johor pada masa hadapan," kata Abdul Rahim.

Ini dapat dilihat dengan sikap baginda yang sangat mementingkan kebersihan dan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar di negeri ini, yang dilihat sebagai aspek dalam melestarikan pembangunan negeri ini.

"Jadi wawasan Tuanku sekarang ini memang khas untuk kebaikan dan kemajuan rakyat negeri Johor. Saya amat bangga sebab Tuanku tak duduk diam, hari-hari baginda keluar pergi lihat sendiri dan bila balik ataupun dalam perjalanan, Tuanku akan telefon ke pejabat-pejabat berkenaan minta tolong bersihkan kawasan-kawasan, tengokkan ini dan tengok yang itu.

"Ia bagus, maknanya baginda mengambil berat terhadap kebajikan dan kesejahteraan negeri Johor," kata Abdul Rahim.

Sultan Ibrahim, Sultan kelima dalam sejarah Johor Moden, akan dimahkotakan pada satu istiadat diraja 23 Mac ini.


-- BERNAMA

Istiadat Meletak Kerja sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor





JOHOR BAHRU: Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja sebagai simbolik bermulanya sambutan berkenaan pada hari ini.

Majlis itu disempurnakan dengan istiadat menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan di Tugu Peringatan Istana Besar, kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Upacara menaikkan bendera berkenaan dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Johor, Dato' Mohd Tahrir Shamsudin sebelum disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Haji Abdul Rahim Bin Ramli. 

Dato' Penghulu Istiadat, Datuk Abdul Latif Yusuf ketika membacakan perisytiharan berkata, bendera Istiadat Kerajaan akan dikibarkan sepanjang Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor kelima dan diturunkan semula pada 21 April depan.

Sebanyak tujuh das tembakan meriam dilepaskan sejurus bendera berkenaan dinaikkan.

Yang turut hadir dalam upacara itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ismail Karim, Ketua Polis Johor, Dato' Mohd Mokhtar Mohd Shariff, barisan exco kerajaan negeri dan ketua jabatan serta wakil agensi kerajaan negeri.

Sejarah upacara ini dimulakan oleh Sultan Abu Bakar pada 1874 untuk meraikan kerajaan sebelum ditukar kepada hari keputeraan. Biasanya bendera akan dinaikkan tiga atau empat hari sebelum majlis berkenaan berlangsung.

Gambar Hj Abd Latif  Bin Hj Bandi


BUKU ADAT ISTIADAT DIRAJA JOHOR LARIS SEMPENA KEMAHKOTAAN DYMM SULTAN JOHOR


JOHOR BAHRU, 8 Mac 2015 – Dua buah buku hasil tulisan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Yang Berhormat Dato' Haji Abdul Rahim Bin Ramli  berjudul “Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor” dan “Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012” yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM Press) mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Hal ini tentunya berkaitan dengan majlis bersejarah iaitu Istiadat kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Ibn Almarhum Sultan Iskandar yang akan berlangsung pada 23 Mac 2015 akan datang.

Pengarah Penerbit UTM Press, Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman berkata, cetakan pertama buku yang ditulis oleh Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Dato’ Abdul Rahim Ramli diterbitkan pada tahun 2011 telah habis dijual. Buku tersebut telah diulang cetak sebanyak 1,000 naskhah lagi pada tahun 2013 bagi memenuhi permintaan orang ramai. Banyak pihak sama ada individu atau organisasi berusaha mendapatkan buku tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai adat distiadat diraja Johor yang sangat unik dan istimewa itu. Tambahan pula, majlis kemahkotaan DYMM Sultan Johor kali terakhir pernah diadakan pada 10 Februari 1960, iaitu dibawah pemerintahan DYMM Sultan Ismail.

Kedua-dua buah ini mengandungi pelbagai maklumat dan gambar-gambar mengenai peralatan diraja yang berfungsi sebagai unsur yang memberi nilai legitimasi dan kedaulatan kepada raja pemerintah yang berdaulat. Antaranya peralatan diraja termasuklah mahkota raja, regalia permaisuri, cogan agama, cogan alam, keris diraja, lembing istiadat, payung diraja, bendera diraja, jata diraja dan darjah kebesaran. Jata diraja Johor selepas zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar dilakarkan dengan tulisan SI. SI merujuk kepada pemerintahan DYMM Sultan Ibrahim, DYMM Sultan Ismail, DYMM Sultan Iskandar dan yang terkini DYMM Sultan Ibrahim. Hampir kesemua peralatan diraja ditulis kalimah Allah dan Muhammad serta moto “Kepada Allah Berserah”. Selain daripada itu, peralatan diraja juga dihiasi dengan gambar gambir dan lada hitam. Pihak istana Johor mengambil awan larat tersebut kerana ia berkaitan dengan sejarah ekonomi penanaman gambir dan lada hitam yang diasaskan oleh almarhum DYMM Sultan Abu Bakar.

Pengarah UTM Press berpendapat kedua-dua buah buku ini mempunyai nilai ilmiah yang tinggi. Ia merupakan gabungan hasil penyelidikan dan pengalaman peribadi penulis yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam merancang, mengurus dan melaksanakan majlis istiadat diraja dalam Kesultanan Johor selama 50 tahun. Dato’ Abdul Rahim Ramli yang juga Karwayan Tamu UTM mempunyai pengalaman yang sangat luas kerana pernah berkecimpung sebagai petugas di dalam istana pada tahun 1970 bagi upacara menyampaikan ucapan dan pingat kebesaran. Beliau juga pernah berkhidmat dengan istana sebagai pegawai isdiadat dan menjalankan tugas Bentara Kiri, Dato’ Bentara Kanan dan Dato’ Penghulu Bicarana. Daripada segi pentadbiran, Dato’ Abdul Rahim pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor dan yang terkini Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor.

Secara keseluruhan, kedua-dua buah buku ini mempunyai pelbagai maklumat berkaitan adat istiadat diraja Johor. Sebelum memulakan penjelasan mengenai adat istiadat diraja Johor, buku ini juga memuatkan latar belakang sejarah Kesultanan Johor. Buku kedua beliau banyak memuatkan sejarah pelantikan dan pemasyhuran waris atau Tunku Mahkota Johor, dan istiadat pelantikan raja. Selain daripada itu, terdapat pemaparan istiadat kemahkotaan Sultan Johor, istiadat perkahwinan diraja dan istiadat pemakaman diraja. Penulisan sejarah ini penting untuk menanamkan kesedaran patriotisme dan nasionalisme yang mendalam dalam kalangan rakyat khususnya di negeri Johor.

Selain daripada itu, pengkaryaan buku ini membolehkan generasi masa kini boleh menghayati perjuangan kepemimpinan terdahulu dalam memartabatkan sebuah sistem pemerintahan beraja dan mendaulatkan sebuah kerajaan yang merdeka. Jelasnya, penubuhan Kesultanan Johor telah memartabatkan sebuah kerajaan yang mendaulatkan Melayu-Islam selepas kejatuhan Kesultanan Melaka Melaka ditangan penjajah Portugis pada tahun 1511. Di sinilah terletaknya keistimewaan Kesultanan Johor Moden yang diterajui oleh DYMM Sultan Abu Bakar dalam mentransformasikan sebuah kerajaan yang merdeka dan berdaulat berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor pada 14 April 1895. Justeru itu, Kesultanan Johor berjaya melestarikan sebuah pemerintahan yang progresif, maju dan makmur berdasarkan tiga tagline iaitu “Johor mesti jadi Johor”, “Kepada Allah Berserah” dan “Muafakat itu Berkat”. Pada masa kini, tagline yang paling masyhur dan popular ialah “Johor; Luas Kuasamu”.

Yang Berhormat Dato' Haji Abdul Rahim Bin Ramli (Tengah) memenangi Anugerah Buku Negara 2013 (Kategori Buku Warisan Sejarah)

DYMM Sultan Ibrahim sendiri telah berkenan memberikan titah pengantar dalam buku yang dihasilkan oleh Dato’ Abdul Rahim Ramli. Menurut baginda, “Bermula era pemerintahan Temenggong, negeri Johor Darul Ta’zim menyerlahkan kemajuan daripada aspek tadbir urus, ekonomi, politik tempatan, bahkan merentas aspek hubungan antarabangsa. Senario ini berkembang pesat dalam era pemerintahan Kesultanan Johor berikutnya yang dilihat sebagai asas bagi kemajuan masa kini”.


Berdasarkan penerbitan buku ini, DYMM Sultan Ibrahim amat menghargainya dengan bertitah bahawa “saya menaruh harapan penuh bahawa karya yang dihasilkan daripada hasil penyelidikan dokumen istana dan kerajaan serta pengalaman penulis sendiri melebihi lima puluh tahun mengatur, mengurus dan melaksanakan istiadat istana seharusnya dijadikan khazanah dan panduan kepada rakyat saya dan pembaca mempelajari dan menghayati adat resam dan budaya istana. Warisan ini hendaklah terus dihidup dan diperkayakan bagi menjana dan memperkukuhkan semangat kesetiaan rakyat terhadap institusi Raja”.

Daulat Tuanku!

Sultan Johor salur RM10 juta kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor

SULTAN Ibrahim dalam temu bual khas sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyalurkan dana RM10 juta kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang ditubuhkan bagi membantu pesakit kurang berkemampuan termasuk pembiayaan kos rawatan.

Sultan Ibrahim bertitah kewujudan yayasan berkenaan berikutan keadaan kesihatan anakandanya Tunku Abdul Jalil yang sebelum ini disahkan menghidapi kanser hati tahap empat ketika berada di England.

“Penyakit itu hanya diketahui apabila tangannya sakit. Ketika di England, pada tengah malam, anak saya cari saya kata tidak tahan sakit sangat dan bila ke hospital dan membuat scan (imbasan) nampak ada benda putih.

“Ketika dirawat di London, barulah doktor sahkah dia menghidap kanser hati, doktor kata nak bedah untuk periksa, saya kata nanti dulu.

“Saya hubungi hospital di Singapura dan bawa balik anak saya yang menjalani kemoterapi empat pusingan sebelum didapati kanser itu berkurang, masih dalam hati tak keluar ke mana-mana, maknanya dalam kawalan,” katanya.

Baginda bertitah demikian dalam temubual khas sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor bersama wakil Media Prima Berhad di Istana Bukit Serene, di sini semalam.

Sultan Ibrahim bertitah atas nasihat rakannya, Tunku Abdul Jalil menjalani rawatan pemindahan hati di China dan baginda bersyukur rawatan itu berjaya.

“Alhamdulillah rawatan itu berjaya, hati berfungsi dengan normal. Saya rasa Allah masih sayang dia. Atas sebab itu saya suruh Tunku Laksamana membuat satu yayasan yang dipanggil Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

“Yayasan itu ditubuhkan dalam masa terdekat. Kertas kerja semua siap. Tujuannya kami kena tolong orang yang tak mampu untuk pemulihan dan bermacam lagi,” titah baginda.

Sultan Ibrahim menasihatkan semua peniaga yang berjaya supaya membantu orang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan penyakit kanser.

“Saya nak nasihatkan sikit kepada saudagar besar semua ini, tolonglah orang susah, ramai orang sakit. Jadi orang yang kaya lain kena hulurkan bantuan. Ini tanggungjawab kita,” titah baginda.


Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Tampilkan Tiga Elemen Budaya

Oleh Nor Baizura Basri

Kali terakhir Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor diadakan pada 10 Februari 1960 di Istana Besar, Johor Baharu.

JOHOR BAHARU (Bernama) -- Eksklusif, penuh budaya dan gilang gemilang adalah antara elemen istiadat kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang bakal diadakan pada 23 Mac ini.

Bakal menampilkan tiga jenis kebudayaan iaitu budaya Melayu, Barat dan Islam, acara itu amat dinantikan segenap lapisan rakyat Johor yang mahu melihat tradisi itu, yang sejak kali terakhir dipersembahkan 55 tahun lepas.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dato' Abdul Rahim Ramli berkata istiadat kemahkotaan kali ini bertempat di Bilik Singgahsana, Istana Besar, yang bakal dipertontonkan secara langsung kepada rakyat melalui RTM.

"Kali terakhir istiadat kemahkotaan ini ialah bagi Almarhum Sultan Ismail pada 10 Feb 1960. Saya percaya rakyat Johor khasnya dan rakyat Malaysia menunggu untuk menyaksikan satu istiadat yang penuh gilang gemilang dengan budaya warisan Johor bagi kemahkotaan Sultan Ibrahim," kata beliau dalam satu temuramah di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

MENGAPA PENTINGNYA ISTIADAT KEMAHKOTAAN

Abdul Rahim berkata kalau mengikut peraturan undang-undang negeri Johor, Sultan Johor dipilih, dilantik dan dimasyhurkan sebagai raja menggantikan Almarhum raja yang mangkat.

Kemudiannya, bakal raja akan mengangkat sumpah dan dimasyhurkan oleh Menteri Besar sebelum keranda diraja diusung untuk dimakamkan, yang mana ia mengesahkan perlantikan raja sebagai Raja Johor.

"Di Johor tiada pertabalan sebagaimana di negeri lain sebab kita anggapkan dengan pemilihan, perlantikan, mengangkat sumpah dan pemasyhuran itu memadai untuk mengesahkan Sultan Ibrahim sebagai Raja Johor," kata beliau.

Bagaimanapun, mengikut tradisi warisan Johor, istiadat kemahkotaan boleh diadakan pada bila-bila masa yang Sultan kehendakinya selepas baginda naik takhta.

Istiadat kemahkotaan, menurut Abdul Rahim, adalah satu tradisi diraja Johor, yang penting kerana ia memperkasakan kedaulatan Raja.

ISTIADAT KEMAHKOTAAN TONJOL BUDAYA MELAYU, BARAT DAN ISLAM

Bagi menyerikan istiadat kemahkotaan itu, terdapat sembilan istiadat yang berlainan tetapi berkaitan yang akan bermula 16 Mac ini, yang menampilkan adunan tiga kebudayaan iaitu budaya Melayu, Islam dan Barat.

Misalnya, istiadat Siram Tabal yang akan diadakan pada 21 Mac, mempunyai ciri-ciri adat istiadat Melayu, yang menggunakan air dari ulu sungai dari 10 buah daerah dalam negeri Johor.

"Adat istiadat yang kita gunakan adalah mengikut warisan iaitu berdoa, bertepung tawar, bersiram dan lain-lain lagi," kata beliau.

Sehari sebelum itu, satu majlis tahlil dan doa kesyukuran akan diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar dan semua masjid-masjid jamek di daerah, bagi memberi peluang rakyat untuk mendoakan kesejahteraan Sultan Johor serta mendoakan agar istiadat kemahkotaan baginda berjalan dengan lancar.

Selain itu, pemakaian mahkota kepada Sultan Ibrahim serta istiadat Menghadap Takzim adalah mengikut budaya barat, kata beliau.

MAHKOTA SEBAGAI LAMBANG KEMODENAN DIRAJA JOHOR

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli

Mengenai mahkota, Abdul Rahim mengimbas kembali tindakan berani Almarhum Sultan Abu Bakar yang membawa kemodenan kepada Johor melalui mahkota ini.

"Kalau kita perhatikan di negeri lain, raja-raja Melayu memakai tengkolok atau tanjak, tetapi di Johor tiada. Oleh sebab langkah Almarhum Sultan Abu Bakar untuk memodenkan kerajaan negeri Johor, maka kita gunakan mahkota," kata beliau.

Selain mahkota, Almarhum membawa elemen kemodenan yang lain seperti darjah-darjah kebesaran, inovasi teknikal dan inovasi pentadbiran.

Mahkota yang diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar Sultan Ibrahim pada tahun 1886, direkabentuk oleh satu-satunya syarikat yang membuat barang-barang kemas diraja British iaitu JW Benson, yang berpengkalan di London.

Mahkota itu yang diilhamkan Almarhum pada tahun 1886, direkabentuk oleh satu-satunya syarikat yang membuat barang-barang kemas diraja British iaitu JW Benson, yang berpengkalan di London.

"Berat mahkota ialah 1.6 kilogram dan rekabentuknya adalah oriental iaitu mengikut kebudayaan Timur dan dipersinarkan dengan intan berlian dan batu-batu permata," kata Abdul Rahim.

Selain itu, terdapat empat bulan bintang bercantum yang melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan turut menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi bagi negeri Johor.

Mahkota Permaisuri (Diadem) kecil sedikit daripada Mahkota Kerajaan untuk digunakan oleh suri baginda.

KEUNIKAN TRADISI KEMAHKOTAAN PENUH WARISAN

Selain mahkota, keunikan istiadat kemahkotaan ini adalah penggunaan kain pelayang diraja, yang bakal digunakan oleh Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, pada upacara itu.

Kain pelayang diraja itu dibuat menggunakan kain sutera khas, direka bentuk dari bahu sampai meleret ke belakang dan akan dijinjit oleh putera puteri kecil ketika istiadat.

"Ia direka khas daripada kain sutera biru yang dibuat di London, dihiasi dengan lakaran lada hitam dan gambir bersulamkan benang emas dan mempunyai tulisan Jawi yang membawa maksud Sultan Johor," kata beliau.

Beliau berkata Sultan Ibrahim gemar menghidupkan kembali tradisi-tradisi lama yang kian dilupakan bagi tatapan rakyat jelata terutama generasi muda.

"Titah Tuanku ialah agar istiadat kemahkotaan baginda dibuat secara istimewa agar menjadi kenangan untuk rakyat kita turun temurun.

"Disebabkan keistimewaan inilah, hanya raja-raja Melayu dan gabenor, Sultan Brunei dan orang kenamaan tertentu sahaja dijemput bagi memastikan status istiadat kemahkotaan ini dipandang tinggi," kata Abdul Rahim.


-- BERNAMA