Social Icons

Sultan Johor sedia beri bantuan biasiswa kepada 10 murid di Pulau Aur


MERSING 16 Feb. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menegaskan pembinaan sebuah sekolah rendah dengan kos RM8 juta di Pulau Aur boleh dianggap membazir dan tidak masuk akal kerana hanya mempunyai 10 orang murid.

Baginda mencadangkan murid di sekolah itu, yang mempunyai lapan orang guru, dipindahkan ke sekolah di bandar ini dan mereka akan disediakan kemudahan asrama bagi memudahkan urusan persekolahan.

Cara berkenaan akan menjimatkan kos kerajaan dan baginda sendiri bersedia untuk memberikan bantuan biasiswa kepada murid-murid berkenaan jika diperlukan, titah Sultan Johor semasa merasmikan bangunan baharu Majlis Daerah Mersing di Jalan Ismail di sini.

Bangunan baharu itu yang menggantikan bangunan lama di Jalan Ibrahim, mula beroperasi pada Mei tahun lepas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Sultan Johor turut melahirkan rasa dukacita terhadap persekitaran di Mersing yang dilihat semakin kotor selain sikap serta budaya menjaga kebersihan yang semakin hilang di kalangan rakyat.

Titah baginda, Mersing yang dibuka sejak tahun 1892 merupakan tempat permainan baginda sejak kecil dan baginda telah melihat banyak perubahan yang berlaku di daerah berkenaan.

"Di kawasan Gunung Arong, pembalakan hutan telah berlaku tanpa dikawal dan pelombong emas haram telah menceroboh masuk serta merosakkan kawasan hutan rizab.

"Perkara berkenaan adalah tidak munasabah dan saya telah mengarahkan kerja pembalakan berkenaan dihentikan serta-merta manakala siasatan mengenainya dilakukan," titah baginda.

Baginda turut menyentuh mengenai Taman Laut Sultan Iskandar dan mencadangkan renjer sukarela dilantik dalam kalangan penduduk pulau dan nelayan untuk memantau aktiviti tidak diingini di kawasan itu.

Sultan Ibrahim bertitah kerajaan boleh memberikan bantuan minyak dan enjin bot kepada mereka untuk menjalankan tugas berkenaan.

Baginda bertitah bagi meningkatkan aktiviti pelancongan di Mersing, kerajaan perlu menyediakan kemudahan pelancongan yang bersesuaian termasuk sistem pengangkutan yang cekap seperti perkhidmatan bas mini yang menghubungkan bandar Mersing dengan tempat-tempat pelancongan sekitar.

"Saya percaya dengan usaha bersepadu kerajaan dan kerjasama erat penduduk setempat, maka satu hari nanti Mersing akan jadi destinasi pelancongan utama di negara ini dan terkenal di mata dunia," titah Sultan Johor. - BERNAMA

Sultan Johor arah tangguh pelaksanaan hukuman gantung sampai mati


PETALING JAYA – Pelaksanaan hukuman gantung sampai mati terhadap banduan P.Chandran yang dijadualkan pada awal Jumaat dihentikan, selepas mendapat arahan Sultan Johor berikutan rayuan daripada keluarga.

Abang Chandran, Thamotharan berkata dia menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai di Jabatan Penjara, lewat Khamis.

“Mereka memberitahu saya bahawa hukuman itu telah dihentikan sementara dan pihak berkuasa akan meneliti kes itu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa keputusan untuk menangguhkan hukumannya dibuat selepas mendapat arahan daripada Sultan Johor semalam (Khamis) petang,” katanya, sambil menambah seluruh keluarga sangat berterima kasih kepada Sultan.

Thamotharan berkata dia difahamkan bahawa Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, telah memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai isu itu.

“Kami berterima kasih kepada mereka dan juga setiap organisasi dan orang ramai yang bersama dengan kami yang merayu untuk mendapatkan pengampunan untuk Chandran daripada dikenakan hukuman mati,” katanya.
Tahun lepas, anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam Semakan Kedua Rekod Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) di Geneva, sebulat suara meminta kerajaan Malaysia mengkaji semula hukuman mati.

Setiausaha Hindraf kebangsaan P. Ramesh berkata, berikutan itu, kerajaan telah bersetuju untuk membentangkan satu laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bulan depan.

“Isu ini telah dibangkitkan tidak kurang daripada empat tahun yang lalu, iaitu apabila kerajaan memutuskan untuk menangguhkan semua hukuman mati,” katanya.

Chandran didakwa membunuh dengan niat bersama beberapa orang lelaki yang masih bebas yang menyebabkan kematian K.Muthuraman, 36, di hadapan sebuah rumah di No. 94, Jalan Lading 22, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, pada pukul 8.15 malam, 19 Julai 2003.

Chandran, yang telah dipenjarakan selama 11 tahun lalu, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Malaysia adalah antara sebilangan negara di Asia yang masih menjatuhkan hukuman gantung sampai mati untuk beberapa kesalahan termasuk membunuh dan mengedar dadah.

Putrajaya dijangka membuat keputusan muktamad bulan depan sama ada untuk menerima syor Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mahu hukuman itu dimansuhkan.