Social Icons

Sultan Iskandar dermakan kesemua elaun kepada yayasan

Pada tahun 1984, Almarhum Sultan Iskandar ketika itu sebagai Yang dipertuan Agong ke-8 telah mendermakan kesemua $3.8 juta dan elaun yang diterima baginda daripada kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun kepada sebuah yayasan yang ditubuhkan atas nama baginda iaitu Yayasan Iskandar.

Sultan Iskandar telah mendermakan sebanyak $52,000 setiap bulan dari elaun baginda, dengan itu baginda mendermakan sejumlah $624,000 setahun. Manakala Tunku Puan Zanariah ketika itu sebagai Raja Permaisuri Agong pula menyumbangkan $12,000 sebulan menjadikan jumlahnya $144,000 setahun.

Dalam tempoh lima tahun berkhidmat sebagai Yang dipertuan Agong Malaysia ke-8, baginda telah menyumbang sebanyak $3,120,000 manakala Raja Permaisuri Agong sebanyak $720,000.

Yayasan itu antara lain menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar miskin untuk melanjutkan pelajaran.



ARTIKEL YANG BERKAITAN:
  1. 22-01-2010 - Sultan Iskandar Mangkat
  2. Teks Pengumuman Kemangkatan oleh Menteri Besar Johor
  3. Majlis Pemasyuran yang diwarnai dengan kesedihan
  4. Patah Tumbuh, Hilang Berganti
  5. Pelindung Negeri, Pendaulat Bangsa
  6. Kenangan bersama keluarga diraja Johor
  7. 'Apa sembah-sembah, aku pun manusia' jadi kenangan abadi
  8. Sebagai Raja, Sultan, Kawan dan Manusia biasa
  9. Satu-satunya Sultan pernah zahirkan khutbah Jumaat
  10. Prihatin terhadap kebajikan Orang Asli
  11. Keakraban Almarhum Sultan Johor Jadi Kenangan Indah Sepanjang Hayat Aktivis Sosial Sarawak
  12. Sultan Iskandar tepikan protokol
  13. Daulat yang diabadikan
  14. Sultan Iskandar: Raja Yang Tegas, Adil Dan Mahukan Yang Terbaik
  15. Peserta Festival Layang-Layang ziarah makam Sultan Iskandar

Keluarga Diraja Johor tidak ambil duit rakyat

"Keluarga Diraja Johor tidak pernah mengambil apa-apa wang daripada kerajaan negeri sejak zaman Almarhum Sultan Ibrahim (1985-1959). Silalah bertanya kepada MB atau dari pegawai yang berkaitan. Wang yang diperuntukkan kepada Ayahanda saya (Sultan Ibrahim) dan saya setiap bulan sebagai Sultan dan Tunku Mahkota disalurkan ke Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim. Ini bertujuan (Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim) untuk membantu rakyat dan Kerajaan Negeri Johor. Sejak saya menjadi Raja Muda, tidak pernah saya mengambil 1 sen daripada kerajaan negeri hingga ke hari ini. Ia Wang Rakyat saya. Jadi sebelum anda membuka mulut, sila selidik terlebih dahulu."

DYAM Tunku Ismail Ibni Sutan Ibrahim
Tunku Mahkota Johor
28 May 2012

Fadhli Shas, Irfan Fazail milik JDT

JOHOR BAHRU: Dua tonggak Harimau Muda, Mohd Fadhli Shas dan Irfan Fazail sah menjadi milik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) apabila menandatangani kontrak dua tahun bersama pasukan Liga Super itu.

Kedua-dua mereka menandatangani kontrak di hadapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) di dalam satu majlis di Stadium Larkin hari ini. 

"Kedua-dua mereka adalah anak Johor dan saya amat berbangga serta teruja kerana mereka mahu kembali ke Johor dan menabur bakti untuk masa depan bola sepak Johor," katanya kepada pemberita di sini. 

Walaupun kontrak kedua-dua pemain Harimau Muda itu adalah untuk dua tahun tetapi Mohd Fadhli dan Irfan mempunyai pilihan untuk menyambung kontrak selama dua tahun lagi bersama JDT, menurutnya.

Tunku Ismail berkata tonggak Harimau Muda itu akan menyertai skuad JDT bimbingan jurulatih Cesar Ferrando Jimenez selepas tugasan mereka bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selesai selepas Sukan SEA Disember ini.

Pasukan JDT akan mula berkumpul bagi persiapan musim depan pertengahan bulan ini dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab luar negara termasuk daripada Jepun dan China serta kemungkinan Boca Juniors daripada Argentina, katanya. 

Mengenai nasib seorang lagi tonggak Harimau Muda kelahiran Johor, Mohd Fandi Othman, baginda berkata rundingan masih dijalankan dengan pemain itu berkemungkinan menyertai JDT penghujung tahun depan. 

Sementara itu, Irfan, yang juga kapten Harimau Muda, pula berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana membantu merealisasikan hasratnya untuk berbakti kepada Johor. 

"Saya akan menggunakan segala pengalaman bersama Harimau Muda dalam menaikkan lagi nama pasukan Johor Darul Takzim, " katanya. 

Bagi Mohd Fadhli pula, pilihan untuk bermain dengan JDT musim depan adalah keputusan yang amat tepat berikutan daripada kebangkitan bola sepak Johor pada ketika ini. 

"Keputusan untuk menyertai JDT musim depan adalah pilihan yang amat tepat. Ia adalah peluang untuk menaikkan nama Johor," katanya yang akan bergandingan dengan beberapa pemain ternama negara dan luar musim depan. 

Di antara nama-nama besar yang akan menyarung jersi merah biru JDT musim depan termasuk bekas penyerang kebangsaan Argentina, Pablo Aimar dan bekas penyerang kelab Athletico Madrid, Braulio Nobrega Rodriguez. 

Selain Mohd Fadhli dan Irfan, PBNJ menurut Tunku Mahkota Johor juga sedang berunding untuk membawa masuk kapten juara Liga Super musim ini, Lions X11, Shahril Ishak untuk bermain dengan pasukan Liga Perdana Johor musim depan. 

"Rundingan sedang dijalankan dan keputusan kita jangkakan pada minggu depan. Bagaimanapun, Shahril telah pun menyatakan hasrat dan minatnya untuk bermain dengan Johor," katanya. 

Selain Shahril, tonggak pertahanan Lions X11 Baihakki Khaizan juga akan menyarung jersi pasukan Johor musim depan manakala Hariss Harun pula akan menyarung jersi JDT. 

Mengenai masa depan Safee Sali dengan JDT musim depan, baginda berkata perkara itu masih dalam rundingan tetapi Norshahrul Idlan Talaha dan Safiq Rahim akan kekal dengan JDT musim depan. - Bernama

JANGAN JUAL NAMA SULTAN JOHOR


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memandang serius terhadap jenayah penyamaran dan penyalahgunaan gelaran kerabat atau pangkat bagi kepentingan peribadi pihak tertentu.

Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Negeri Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, baginda pernah bertitah mengenai hal itu dan menyuarakan kebimbangan lebih ramai rakyat akan tertipu sekiranya tidak berhati-hati.

“Baginda amat mengambil berat akan hal ini kerana baginda tidak mahu pihak istana dan keluarga diraja dipandang serong oleh masyarakat.

“Baginda juga tidak mahu rakyatnya tertipu dan sering menasihatkan supaya rakyat sentiasa berhati-hati dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dengan mempergunakan nama Sultan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, baginda turut mengikuti perkembangan kes penyamaran seorang pemandu lori yang mengaku mendapat gelaran ‘Datuk Seri’ yang didakwa diperoleh daripada Sultan Johor, awal Jun lalu.

Katanya, setakat ini seramai 763 individu menerima gelaran ‘Datuk’ dari Sultan Johor sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar pada 1886 dan kini hanya lebih kurang 150 orang dari mereka masih hidup.

“Untuk pengetahuan semua, Johor tidak pernah mengeluarkan gelaran ‘Datuk Seri’ kepada mana-mana pihak dan kini hanya terdapat kira-kira 150 penerima gelaran yang masih hidup,” katanya.

Gelaran Datuk tiada keistimewaan

Selain itu, katanya, penerima gelaran atau pangkat ‘Datuk’ dari Sultan Johor tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan masyarakat diingatkan agar tidak tertipu dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“Penerima gelaran ‘Datuk’ memang tiada apa-apa keistimewaan, kemudahan mahupun menerima apa-apa elaun.

“Sebaliknya mereka terikat kepada syarat yang ditetapkan antaranya perlu taat kepada Sultan, menjaga integriti masing-masing, tidak terlibat dalam jenayah dan korupsi mahupun maksiat.

“Bagi yang beragama Islam mereka perlu taat kepada Allah, jika berlaku pelanggaran dalam syarat-syarat berkenaan maka gelaran berkenaan berhak ditarik balik,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Rahim berkata, tidak ada sebarang persatuan atau lambang khas diwujudkan dalam kalangan penerima gelaran ‘Datuk’ dari Sultan Johor bagi menunjukkan keistimewaan mereka.

“Lambang Jata Negeri hanya boleh digunakan oleh kenderaan rasmi Kerajaan Negeri seperi kenderaan Menteri Besar dan Exco.

“Selain dari itu, mana-mana pihak yang menggunakan logo mahupun apa-apa lambang dianggap menyalahi Enakmen Senjata dan Bendera Negeri 1921 serta boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.

Abdul Rahim turut menyarankan semua pihak agar membuat semakan sebelum berurusan dengan mana-mana individu yang mendakwa sebagai kerabat diraja Johor atau mempunyai gelaran Datuk.

“Johor merupakan negeri pertama yang mengurniakan gelaran ‘Datuk’ dan saya kenal semua individu yang menerima gelaran ini.

“Jadi kepada mana-mana pihak yang ingin membuat urusan dengan individu yang mengaku sebagai kerabat agar membuat semakan terlebih dahulu supaya tidak tertipu,” katanya.

Empat susur galur kerabat diraja 

Sementara itu Abdul Rahim menjelaskan, kerabat diraja Johor terdiri daripada empat lapisan salasilah keluarga termasuk bapa saudara atau ibu saudara, isteri, adik-beradik, anak dan cucu kepada Sultan yang memerintah negeri.

Beliau berkata, selain daripada empat susur galur yang dinyatakan, keluarga atau individu lain tidak dianggap sebagai kerabat walaupun lahir dalam keluarga yang sama.

“Empat lapisan berkenaan digelar sebagai ‘kerabat damping’ dan mereka membawa gelaran Yang Amat Mulia.


Sultan Johor meriahkan Asia Klasika 2013


Kuala Lumpur: Festival Asia Klasika yang diadakan pada hari terakhir New Straits Times Autoshow 2013 (NST Autoshow) berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung bagi menyaksikan koleksi kereta klasik termasuk milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Keberangkatan Sultan Johor pada majlis itu dengan menaiki kereta Mercedes-Benz jam 11 pagi memberi suntikan semangat serta kemeriahan kepada penganjuran NST Autoshow tahun ini.

Baginda meluangkan masa melawat pameran kereta klasik itu turut menyampaikan piala Sultan Ibrahim kepada pemilik kereta pilihan baginda pada majlis itu.

Penganjuran tahun keempat, Asia Klasika 2013 lebih hebat dengan tema Celebrating Supercar Heritage yang membariskan kereta seperti Aston Martin, Chevrolet Corvette, Porsche 911, Lamborghini, Mercedes-Benz, Bugatti, Ferrari, DeTomaso dan Jaguar.

Lebih menarik lagi pengunjung dapat melihat sendiri koleksi kereta vintage edisi khas Sultan Johor yang turut dipamerkan antaranya Aston Martin Vantage dan Volante, Lamborghini Espada, Jalpa dan LM002 serta kereta Chevrolet Corvette Indianapolis 500 yang dibangunkan pada 1978.

IPT perlu majukan Melayu tanpa abai kaum lain - Sultan Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyampaikan ijazah kepada Shamsul Nizan Mohd. Ehsan yang berkerusi roda sempena majlis Konvokesyen UTHM Ke-13 di Batu Pahat, Johor, semalam.


BATU PAHAT 5 Okt. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bertitah agar institusi pengajian tinggi meningkatkan usaha bagi membantu memajukan orang Melayu dalam bidang pendidikan dan ekonomi di negeri ini sekali gus mampu bersaing ke peringkat antarabangsa.

Baginda bertitah, walaupun keutamaan diberikan kepada orang Melayu namun ia tidak bermakna kepentingan bagi kaum lain diabaikan.

Sultan Ibrahim pada masa sama mahu universiti meningkatkan lagi usaha dalam bidang penyelidikan, perundingan dan khidmat masyarakat bagi menyokong usaha kerajaan negeri untuk memulihara alam semulajadi di negeri ini.

"Saya yakin pihak pengurusan universiti sentiasa bersedia dan mampu berperanan untuk meningkatkan lagi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.

"Jabatan-jabatan kerajaan negeri yang terlibat dalam pembangunan pendidikan dan ekonomi serta penjagaan alam semulajadi perlu bekerjasama erat dengan pihak universiti bagi menjayakan usaha ini," katanya.

Sultan Ibrahim yang merupakan Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertitah pada pembukaan Majlis Konvokesyen UTHM Ke-13 di Dewan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.
Sebanyak 3,520 orang siswazah akan menerima ijazah dan diploma masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana, sarjana muda dan diploma pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Pada majlis sama, Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan ijazah kehormat doktor falsafah kepada Gabenor Daerah Istimewa Jogyakarta, Sri Sultan Hamengku Buwono X dan ijazah Profesor Emeritus kepada Prof. Datuk Dr. Ismail Bakar yang juga merupakan bekas Naib Canselor UTHM.

Sultan Ibrahim dalam ucapan baginda turut menasihatkan para graduan agar menjauhi daripada anasir-anasir yang boleh merosakkan hidup, berpegang teguh kepada agama dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

© Utusan Melayu (M) Bhd