Social Icons

Sultan Johor pandu kereta api ke Kluang


JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam berangkat ke Kluang dengan memandu sendiri tren Sinaran Selatan yang dalam perjalanan dari Woodlands Train Checkpoint (WTCP), Singapura ke Stesen Sentral, Kuala Lumpur.

Rombongan baginda bersama pegawai istana bertolak dari Stesen Johor Bahru Sentral, di sini ke Stesen Kluang pada pukul 2.15 petang dan mengambil masa kira-kira 2 jam 15 minit untuk tiba di Stesen Keretapi Kluang.

Turut mengiringi baginda ialah Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir dan dibantu pemandu lokomotif, Kamal Hasnawi.
Tren tersebut membawa kira-kira 150 penumpang. - KOSMO!

Jaga kebersihan bazar Ramadan - Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU 10 Julai - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (gambar) menasihatkan pihak berkuasa tempatan dan para peniaga di negeri ini bersama-sama menjaga kebersihan di tapak jualan bazar Ramadan.


Baginda yang mencemar duli meluangkan masa hampir setengah jam di bazar Ramadan di Larkin di sini hari ini memahami masalah penjagaan kebersihan namun berharap dapat dikawal secara bersama.


"Bila ada majlis-majlis begini memang ada sampah sikit, saya harap pihak berkuasa dan peniaga dapat bersama-sama menjaga kebersihan.


"Setiap tahun saya pergi ke bazar dan esok saya akan ke Kluang pula serta daerah-daerah lain," titah baginda.


Sultan Ibrahim turut mencemar duli dengan melawat gerai-gerai jualan di bazar tersebut selain turut membeli pelbagai juadah berbuka puasa.


Sementara itu, peniaga kuih, Raja Kalsum Raja Aziz, 56, berkata, dia tidak menyangka dapat bertemu Sultan Johor pada hari pertama puasa tahun ini.


"Rasa gembira sangat kerana baginda turut berkenaan membeli juadah saya meskipun yang tinggal hanyalah kuih bakar pandan," katanya.