Social Icons

Tunku Mahkota Johor bangga dengan 2 pasukan Johor

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) bersama Pasukan Johor Darul Takzim (kiri) dan Johor - sports247.my


Tidur Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap lena dengan kekalahan pasukan bintang Johor Darul Takzim pada perlawanan akhir Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Jumaat lalu.

Pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, Johor Darul Takzim tewas 1-2 kepada skuad abang, Johor.

Tunku Ismail berkata, ini kerana menang atau kalah merupakan adat pertandingan, namun apa yang lebih penting baginya adalah kedua-dua pasukan di bawah PBNJ menunjukkan komitmen, semangat juang dan disiplin yang tinggi.

"Saya tidak tahu mengapa ada yang menggembar-gemburkan mengenai kekalahan itu. Secara peribadi, saya sangat gembira dengan perkembangan Johor, syabas dan ia jelas kita mempunyai dua pasukan yang mantap dalam Liga-M," Tunku Ismail berkata selepas pelancaran rasmi Johor Darul Takzim dan Johor Sabtu lalu.

"Ia adalah Kejohanan Empat Penjuru dan kekalahan itu tidak menjejaskan persiapan pasukan Johor Darul Takzim untuk menghadapi Liga. Tidak melemahkan semangat, harapan dan aspirasi kami untuk memenangi gelaran dalam Liga-M,”

”Sebagai presiden (Johor FA) sudah pasti saya mahu kedua-dua pasukan Johor memenangi kejuaraan.”

"Tidak ada sebab saya memberikan keutamaan khas kepada Johor Darul Takzim. Saya gembira peminat bola sepak di negeri ini datang kembali untuk menonton pasukan mereka bermain.

Tunku Ismail berkata, adalah tidak adil untuk menghakimi aksi pasukan bintang Johor Darul Takzim selepas satu perlawanan yang lebih kepada sesi pemanas badan, satu kekalahan bukan bermakna ia adalah penamat bagi segala-galanya.

"Ini cuma Kejohanan Empat Penjuru dan Pra-Musim tetapi peminat datang beramai-ramai ke Stadium. Saya gembira untuk menyatakan bahawa kita berada di landasan yang betul untuk mengubah wajah bola sepak Johor.

"Ini hanya permulaan. Peminat akan dapat menonton bola sepak yang menghiburkan. Kami telah menetapkan sasaran untuk memenangi kesemua tiga piala yang dipertaruhkan. Malah jika kita menang hanya satu daripada tiga piala, ia masih akan menjadi satu pencapaian yang besar,” tambah Tunku Ismail.

"Jika kita tidak boleh menang semua piala, kita akan melihat ke hadapan untuk musim berikut. Saya mahu Johor menjadi kuasa baru dalam bola sepak di Malaysia."

Sementara itu, baginda turut melahirkan keyakinan pasukan Johor Darul Takzim dapat beraksi pada waktu malam di Stadium Tan Sri Hassan Yunos sebaik saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan bermula.

Ia berikutan jaminan yang diberikan Tunku Ismail bahawa pihaknya sedang berusaha untuk memasang dan menaik taraf lampu limpah di stadium berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Insya-Allah kita akan selesaikan masalah ini sebelum 8 Januari. Saya yakin perlawanan di Stadium Larkin pasti akan diadakan pada waktu malam," katanya ketika diminta mengulas berhubung isu lampu limpah yang tidak mengikut spesifikasi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, hanya tujuh stadium yang menjadi lokasi tuan rumah aksi Liga M menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan 1,000 lux.

Stadium Tan Sri Hassan Yunos merupakan salah satu stadium yang tidak menepati piawaian ditetapkan FAM sekali gus menyebabkan perlawanan di lokasi tersebut perlu dijalankan pada waktu siang iaitu pukul 4.45 petang.

Sultan Sir Ibrahim dalam kenangan




Rakyat Johor harus berbangga dengan Mejar-Jeneral Sir Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor selama 64 tahun 1895 hingga 1959. Diputerakan pada 17 Sept 1873, baginda menaiki takhta pada 4 Jun 1895 berikutan kemangkatan ayahandanya Sultan Abu Bakar. Baginda telah dimashyurkan pada 7 Sept 1895 dan dimahkotakan pada 2 Nov tahun yang sama.

Baginda menyambut jubli intan pemerintahan pada hari keputeraan baginda ke-82, satu rekod dunia pada masa itu. Di hari kemangkatan baginda pada 8 Mei 1959, baginda mungkin sultan yang paling lama memerintah dalam sejarah Malaysia.

Sultan Sir Ibrahim melalui kisah kehidupan yang berkotak-kotak. Baginda meneruskan perjuangan ayahandanya dalam memelihara kemerdekaan Johor. Baginda juga mengekalkan dasar hubungan mesra dengan Ratu England, tetapi dengan cara berhati-hati bagi mengelakkan persahabatan itu dimanipulasi oleh British bagi tujuan memperluaskan kuasa mereka.

Baginda memegang amanah ayahandanya yang sebelum mangkat mewasiatkan supaya para warisnya berbakti untuk kebajikan rakyat Johor.

Dengan penuh semangat muda, Sultan Ibrahim bekerja bersama rakyat dalam membangunkan tanahair mereka. Baginda menggalakkan penerokaan, tanaman baru dan memberi sokongan peribadi kepada pembangunan negeri.

Sesuatu yang harus dibanggakan, baginda dikatakan menjalankan kerja-kerja penambahbaikan keatas infrastruktur yang dibina dari hasil Johor tanpa meminjam satu sen pun dari sesiapa.

Sultan Sir Ibrahim bergiat aktif, berminat dan bangga dengan Johor Military Forces (JMF) yang telah dibentuk oleh ayahandanya pada tahun 1886.

Kepimpinan baginda telah menjadi faktor penentu dalam membawa JMF kekal sehingga ke hari ini.

Pada tahun 1905, baginda mengasaskan Johore Volunteer Forces (JVF) dengan niat sebagai platform untuk melatih anak-anak melayu Johor untuk berkhidmat didalam sektor kerajaan dan diserapkan ke JMF.

Empat orang Menteri Besar Johor yang pernah menjalani latihan ketenteraan bersama JMF antaranya ialah Abdullah Jaafar (ketiga), Abdul Hamid Yusof (kelima), Ungku Abdul Aziz Abdul Majid (keenam), dan Onn Jaafar (kelapan).

Pada tahun 1936, baginda melengkapkan JMF dengan kelengkapan yang lebih baik berbanding tentera British.

JMF juga dilengkapi dengan mesingan Vickers yang dipasang pada kenderaan dan sesuai untuk digunakan apabila beroperasi di dalam hutan.
(Gambar Hiasan) Vickers yang dipasang di kenderaan
Pada tahun yang sama, baginda membentuk Tentera Udara Diraja Johor di bawah penyeliaan Tentera Udara Diraja untuk melengkapkan dan menjadikan JMF sebuah angkatan tentera yang lebih kuat dalam mempertahankan negeri dan negara. Baginda percaya bahawa dengan latihan intensif, orang Melayu berkebolehan menjadi juruterbang, penembak dan juruteknik.

Sultan Sir Ibrahim menjalinkan hubungan dua hala dengan melawat negara-negara asing.

Baginda telah diterima menjadi tetamu kepada King George V Britain, The Marquis Tokugawa Jepun pada tahun 1934, dan secara rahsia oleh Adolf Hitler pada tahun 1939.

Sultan Sir Ibrahim adalah antara individu paling kaya pada masa itu. Baginda terkenal dengan kemurahan hatinya dengan menyumbangkan 16 kapal terbang kepada British semasa Perang Dunia I. Baginda juga menderma sebanyak $12,000,000 kepada British semasa Perang Dunia II. Britain menggunakan sebahagian daripada wang tersebut untuk memasang tiga biji Monster-Gun yang berukuran 15 inci yang terbesar di luar Britain dikenali sebagai Johor Bateri di Changi untuk pertahanan Singapura.

Pada tahun 1927, baginda telah mendermakan sebanyak $25,000 kepada Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk usaha-usaha bantuan banjir yang keseluruhannya berjumlah $100,000

Sultan Sir Ibrahim dilihat sebagai seorang yang berani apabila mengetuai pegawai JMF untuk mengawal pemberontakan Sepoy di Singapura pada tahun 1915, di mana seorang pegawai dan dua lelaki diberitakan terbunuh. Keesokan harinya, pemberontak yang diupah telah melarikan diri ke Johor menyerahkan senjata mereka di kaki Sultan dan mencium tangannya untuk pengampunan.

Baginda juga dilihat sebagai seorang pemburu yang berani apabila memburu harimau dengan berjalan kaki ketika berada di hutan.


Apabila tentera Jepun sampai ke Johor Bahru pada 31 Jan 1942, baginda menerima mengadap Panglima Jepun di Istana Bukit Serene. Tentera Jepun memberikan penghargaan dan mengiringi baginda ke Batu Pahat atas sebab-sebab keselamatan. (Click)

Selepas British menyerah kalah pada 14 Feb 1942, baginda kembali ke Johor Bahru dan bersemayam di Istana Pasir Pelangi sepanjang pendudukan Jepun.

Sultan Sir Ibrahim mengekalkan toleransi agama di kalangan rakyatnya. Baginda menganugerahkan tanah kepada Kuil Hindu Arulmigu Raja Mariamman dan Gurdawara Sahib Sikh di Jalan Ungku Puan dan gerakan Mason untuk Royal Lodge Johor di Jalan Thomson.

Sultan Sir Ibrahim juga turut menolak pemilihan sebagai Yang pertama di-Pertuan Agong pertama pada tahun 1957. (Click)


Datuk Abdul Rahim Ramli adalah Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor

Sultan Iskandar: Raja Yang Tegas, Adil Dan Mahukan Yang Terbaik

Arkib 22/01/2010




Sultan Johor Sultan Iskandar, yang mangkat pada hari Jumaat pada usia 77 tahun, adalah seorang raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Semasa pemerintahan baginda, Sultan Iskandar dikasihi pelbagai lapisan rakyat negeri Johor atas bimbingan dan perhatian berterusan baginda terhadap segala naungannya.

Baginda bukan sahaja bijak dalam hal keagamaan dan pemerintahan tetapi juga dalam pelbagai bidang lain seperti ketenteraan, sukan dan perniagaan.

Baginda sering bertitah mengingatkan rakyatnya agar sentiasa hidup bermuafakat, bersatu padu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kebahagiaan negeri Johor.

Sultan Iskandar dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh The National University of Singapore (NUS) pada 12 April 2007 sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam kemajuan dan kemakmuran negeri itu serta sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Dalam menjaga hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, baginda sering menjemput pemimpin Singapura ke Istana Bukit Serene di Johor Baharu semasa sambutan Hari Raya.

Sultan Iskandar, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989, diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Menggemari permainan polo, papan layar, golf dan memburu, baginda merupakan juruterbang bertauliah dan pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Baginda merupakan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan dan ditubuhkan oleh moyang baginda Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1885.

Minat baginda dalam bidang ketenteraan jelas dilihat daripada perwatakan baginda yang sentiasa segak beruniform tentera dan ketegasan baginda dalam soal disiplin.

Sultan Iskandar pernah menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Baharu pada 1960 dan berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pegawai dan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Gerak Khas.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa mengadakan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri atau pentadbiran jabatan berkenaan untuk mengikuti perkembangan dan masalah agama. Baginda sendiri turut menyampaikan khutbah-khutbah Jumaat di masjid-masjid sekitar Johor.

Di arena sukan, baginda terkenal sebagai peminat dan ahli sukan dalam pelbagai acara yang mencabar seperti golf, tenis, tinju, luncur layar, ski air, menyelam, berenang, payung terjun, lumba kereta dan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Baginda merupakan seorang juruterbang helikopter dan pesawat ringan yang dikagumi.

Sultan Iskandar yang turut gemar berburu, sering menasihatkan rakyat negerinya agar menceburi sukan menembak kerana baginda percaya sukan itu akan muncul sebagai sukan utama di masa hadapan.

Ketika merasmikan Kejohanan Menembak Sultan Iskandar Challenge Trophy 1997, baginda bertitah sukan itu bukan lagi menjadi aktiviti yang dikhususkan kepada golongan berada tetapi terbuka kepada semua golongan kerana yuran dikenakan oleh kelab menembak adalah kecil.

Hasrat baginda itu kini menjadi kenyataan kerana Malaysia mula muncul sebagai antara negara yang mempunyai penembak terbaik di peringkat antarabangsa.

Dan sehingga kini, Persatuan Penembak Clay Target Johor (JCTSA) terus menganjurkan pertandingan menembak Piala Sultan Iskandar, yang melibatkan penembak tempatan dan luar negara, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Iskandar.

Selain sukan menembak, baginda turut memberikan sokongan kepada sektor pelancongan dengan seringkali mencemar duli menghadiri Festival Layang-layang Antarabangsa di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang yang menjadi venue tetap acara itu.

Titah baginda, penganjuran agenda bertaraf antarabangsa merangkumi acara-acara sukan, rekreasi serta temasya layang-layang dapat memberikan imej antarabangsa kepada Johor dan Malaysia.


Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian.

Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.

Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.

Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden pada 11 Mei 1981.

-- BERNAMA

Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor

Arkib 29 Jan 2010

JOHOR BAHRU - Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris (gambar) semalam dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang baru bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor.

Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 itu diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim di Istana Besar di sini pada pukul 3.20 petang.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1, fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.

Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenan dilantik sebagai waris takhta Johor.





"Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah tiada," - Sultan Johor




ARKIB : 10/06/2012


Sebahagian daripada lebih 30,000 yang menyertai Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor, hari ini
Sultan Johor berucap pada Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi hari ini
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terharu dan sebak dengan kehadiran rakyat dari seluruh negeri itu termasuk masyarakat Orang Asli ke Istana Pasir Pelangi di sini bagi menyatakan ikrar taat setia.

Ketika bertitah, baginda turut menyatakan rasa sayang terhadap rakyat Johor. "Saya sayang rakyat saya. Tidak ada rakyat yang tiadalah Raja. Raja dan Rakyat berpisah tiada"

"Saya ada permintaan untuk melihat rakyat bersatu, tidak kira kaum, mesti bersatu. Bersatu kita kuat, bercerai kita runtuh," titah baginda.

Kira-kira 30,000 sertai perhimpunan Ikrar Taat Setia Sultan Johor yang pada asalnya menyasarkan hanya 20,000 orang. Masyarakat Orang Asli turut hadir.

Kebanyakkan peserta mula berhimpun di pekarangan bangunan Sangkar Kristal, Taman Pelangi bermula jam 11 pagi biarpun perarakan dijadualkan mula jam 1.30 petang.

Laporan Bernama pula menyebut mereka membawa pelbagai sepanduk dan berarak sejauh satu kilometer ke Istana Pasir Pelangi, yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor.

Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor dianjurkan oleh Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung).

Suasana di pekarangan istana yang penuh sesak bertukar menjadi emosional apabila baginda tiba-tiba menjadi sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas kepada hadirin.

"Saya tidak akan melupakan hari yang amat bersejarah seperti hari ini," titah baginda sambil mengesatkan air mata dan laungan "Daulat Tuanku" rakyat yang menghadiri perhimpunan itu terus berkumandang.

Perhimpunan itu sebagai reaksi balas terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.

Terdahulu, baginda menerima lafaz ikrar taat setia wakil Gabung Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan itu.    

Sementara itu, Bendahari Agung Gabung Zaini Atan berkata, mereka amat bangga kerana perhimpunan hari ini berjaya menarik 30,000 rakyat Johor tanpa mengira bangsa dan agama, yang menganggotai pelbagai NGO.

"Kita hanya mengambil masa tujuh hari untuk menganjurkan perhimpunan ini, sebagai usaha kami untuk menunjukkan semangat taat setia dan sayang kami kepada Sultan kami. Jangan cabar Sultan kami," katanya.

Beliau berkata, sejumlah 312 NGO Melayu Johor dan 62 NGO kaum Cina serta 30 NGO kaum India menyertai perhimpunan itu.

Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan, yang turut menghadiri perhimpunan itu, berkata beliau berasa amat bangga dengan sokongan rakyat pelbagai agama dan kaum di negeri ini terhadap Sultan Johor.

"Perhimpunan hari ini membuktikan bahawa rakyat negeri Johor menyokong penuh institusi kesultanan kerana ia merupakan tulang belakang kepada Perlembagaan negara," katanya.


'Johor bukan tempat percutian' - TMJ

TUNKU Ismail ketika bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di
Johor Bahru.


PASUKAN Johor Darul Takzim bukanlah tempat ‘percutian’ untuk pemain-pemain berstatus bintang sebaliknya mereka mempunyai misi besar untuk membantu Harimau Selatan muncul juara saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pasukan Johor Darul Takzim mempunyai matlamat besar iaitu untuk menjadi juara sekali gus menjadi pasukan yang digeruni pihak lawan.

"Johor bukan satu tempat percutian atau tempat ambil gaji tiap-tiap bulan. Kita mempunyai impian yang perlu dicapai dan mahu dikenali sebagai satu pasukan yang kuat, mantap dan digeruni. Bukan pemain yang perlu diberi tumpuan tetapi objektif pasukan.

“Kami mahu menaikkan semula nama Johor dalam arena bola sepak tempatan dan saya amat gembira dengan pasukan ini. Kami telah merancang hampir setahun untuk mengenal pasti pemain-pemain berkualiti,” titah baginda pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

Pada majlis tersebut, tujuh pemain baharu Johor Darul Takzim termasuk lima pemain Harimau Malaya yang beraksi pada Piala Suzuki AFF 2012, Norshahrul Idlan Talha, Safiq Rahim, Azmi Muslim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak turut hadir untuk sesi bertemu peminat.

Selain mereka, turut hadir kembar Aidil, Zaquan Adha dan dua pemain import, Daniel Guiza dan Simone Del Nero.

Dalam pada itu, kesemua pemain yang hadir berjanji akan memberi komitmen dan aksi terbaik buat pasukan sebaik sahaja mereka menjalani latihan 23 Disember ini.

Bagi penyerang sensasi, Mohd. Safee Sali, dia sudah tidak sabar untuk beraksi bersama Johor Darul Takzim yang dilabel sebagai ‘pasukan impian’.

“Selepas dua tahun berkelana di Indonesia, saya harap dapat mencurahkan semua pengalaman bagi membantu pasukan baharu saya ini menjadi juara.

“Saya mempunyai rakan sepasukan yang hebat tetapi kami perlu pastikan kami semua berada pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Sementara itu, bagi kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pula, dia memilih untuk menyertai pasukan Harimau Selatan kerana inginkan cabaran baharu.

“Saya menerima cabaran ini demi karier saya dalam sukan bola sepak dan Insya Allah saya akan berikan komitmen 100 peratus buat pasukan ini,” katanya.

Bagi Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, bergandingan bersama penjaring terbanyak Liga Indonesia, Safee dan bekas penjaring terbanyak La Liga, Guiza dianggap sebagai peluang menarik untuk dia meningkatkan lagi mutu permainan.

“Memang bagus apabila terdapat ramai penyerang dalam satu pasukan dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaringkan lebih banyak gol,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan, Fandi Ahmad memberi amaran, meskipun berstatus bintang ia bukanlah tiket untuk kesemua pemain kebangsaan yang menyertai pasukan Johor Darul Takzim dijanjikan tempat dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan.

“Semua 27 pemain ada hak untuk merebut tempat. Saya amat mementingkan disiplin dan semangat berpasukan. Tidak semua pemain akan mendapat tempat secara automatik,” katanya.

Sultan Johor tulis kaligrafi 'Tuanku di hati rakyat'


ARKIB : 15/05/2012

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menulis kaligrafi Cina bermaksud 'Tuanku
di hati rakyat' di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim, Kluang, semalam
.
KLUANG 14 Mei - Kaligrafi Cina bermaksud 'Tuanku di hati rakyat' yang ditulis Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini nyata menjadi ekspresi objektif Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012.

Kemahiran dan kesudian baginda menulis kaligrafi itu mendapat tepukan gemuruh tetamu kehormat dan orang ramai yang kagum terhadap baginda sebagai Sultan untuk semua rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.


Hadirin juga tidak melepaskan peluang untuk bersalam dengan baginda yang kelihatan ramah dan tidak kekok mencemar duli bersama rakyat.


Individu yang paling gembira dengan kunjungan KMJ 2012 adalah seorang warga emas, Ibrahim Oyok @ Zainal, 81, yang 'ditarik' untuk bersantap di sebelah Sultan Ibrahim.


Ditanya bagaimana dia mendapat peluang itu, Ibrahim menjelaskan dirinya telah dilihat oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail yang kemudiannya memberitahu ayahandanya untuk mengajaknya santap bersama.


Ibrahim memberitahu, dia mula dikenali keluarga diraja itu ketika zaman Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan berasa sangat gembira kerana keturunan baginda sekeluarga masih mengingati dirinya.


"Saya mula bertemu dengan Almarhum pada suatu petang di surau Askar Timbalan Setia ketika menumpang rumah abang ipar yang berkhidmat sebagai askar tersebut.


"Esoknya, saya masuk kerja sebagai buruh di Jabatan Hutan dan kebetulan bertemu lagi dengan baginda. Saya terkejut apabila baginda masih mengingati saya hasil hikmah pertemuan di surau," katanya yang berasal dari Negeri Sembilan dan kini menetap di sini.


Warga emas itu menyatakan, dia mungkin disayangi Almarhum Sultan Iskandar selepas lulus 'ujian' apabila baginda memberikannya wang sebanyak RM50 setelah mendapati dompetnya hanya ada RM2 suatu masa dulu.


"Wang diberi Almarhum itu saya belanja makan kawan-kawan lain di Jabatan Hutan dan tanpa pengetahuan saya, salah seorang rakan telah memberitahu Almarhum mengenai tindakan saya itu," jelasnya.


"Suatu hari, Almarhum panggil saya dan beritahu bahawa baginda juga pernah memberikan wang kepada salah seorang pekerja di Jabatan Hutan tetapi pekerja itu tidak membelanja rakan-rakan lain. Kata tuanku, saya jenis yang tidak lupa kawan dan mungkin itu sebabnya baginda sayang pada saya," katanya.


Turut hadir Ahli Parlimen Kluang, Dr. Hou Kok Chung; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday; ADUN Paloh, Hoo Seong Chang, ADUN Kahang, R. Vidyanathan dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar. Mohd. Shariff.


Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar 20.12.2012

Sultan Ibrahim menyiram air mawar di pusara Almarhum Sultan Iskandar 

JOHOR BAHRU: Selaras dengan upacara tradisi diraja Johor, DYMM Sultan Johor dan kerabat Diraja melawat Makam Diraja di Bukit Mahmoodiah bersempena dengan Hari Hol Khamis lalu.

Sultan Johor yang diiringi Tunku Bendahara YAM Tunku Majid Sultan Iskandar dan anakanda baginda Tunku Panglima YAM Tunku Abdul Rahman tiba pada jam 9 pagi.

Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan exco negeri. Keluarga diraja membacakan al-Fatihah dan menyiram dan menaburkan bunga mawar di pusara Almarhum Sultan Iskandar.

Mulai 2011 Hari Hol Almarhum Almarhum Sultan Iskandar disambut mengikut Kalender Hijrah iaitu pada 6 Safar setiap tahun.

Pusara yang berada di dalam Kubah Makam Diraja Mahmoodiah diantaranya ialah pusara Sultan Iskandar Sultan Ismail yang memerintah pada 1981-2010, Sultan Ismail Sultan Ibrahim (1959-1981), Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar (1895-1959) dan Sultan Abu Bakar (1862-1895).

Selepas bacaan doa DYMM Sultan Johor dan rombongan berangkat ke masjid Sultan Abu Bakar untuk Majlis Bacaan Tahlil.

TEMURAMAH BERSAMA TUNKU MAHKOTA JOHOR : BAHAGIAN KEDUA



Johor Darul Takzim akan terus untuk "membeli" nama-nama besar dari semasa ke semasa untuk meningkatkan taraf bola sepak bukan sahaja di negeri Johor tetapi negara juga.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga presiden Johor FA berkata, Johor akan terus mencungkil bakat dan menguji pemain-pamain baru

"Kita akan menandatangani pemain yang berkaliber yang telah terbukti kebolehan mereka di peringkat antarabangsa dan yang boleh memberikan pengetahuan dan kemahiran mereka kepada pemain kami.

"Kami telah menandatangani pemain seperti Daniel Guiza yang pernah bermain di Kejohanan Euro 2008 bersama pasukan Sepanyol dan bekas pemain tengah Lazio Simone Del Nero.

"Mereka adalah pemain berkualiti yang telah kita tandatangani dan saya percaya mereka adalah pemain asing yang termahal dalam sejarah negara ini," katanya dalam temu bual eksklusif di di Istana Bukit Pelangi di Johor.

Lain-lain nama-nama besar yang ditandatangani oleh Johor Darul Takzim Zaquan Adha Abdul Radzak dan saudara kembar Aidil Zafuan, Ketua Pasukan Kebangsaan Safiq Rahim, Muslim Ahmad. Norshahrul Idlan Talaha, Azmi Muslim dan Safee Sali.

Tunku Ismail berkata baginda mahu menjadikan Johor pasukan terbaik di Malaysia dan mungkin di rantau Asia kerana baginda mencintai sukan bola sepak dan sangat teruja apabila berbicara mengenainya.

Baginda berkata bola sepak di Malaysia perlu diperbaiki kerana hakikatnya ia berada di kedudukan 167 ranking dunia.

Baginda berkata Malaysia perlu memperbaiki pentadbiran terutamanya kewangan jika mahu menjadi antara pasukan terbaik di Asia.

"Kita mesti meningkatkan standard bolasepak kita dan saya percaya Johor FA akan memulakannya untuk merevolusikan bola sepak di negara ini.

"Kewangan kita adalah teguh dan kami telah menyusun semula organisasi kami. Ia akan diuruskan secara profesional dengan setiap ahli pasukan diingatkan untuk bertanggungjawab dengan tugas masing-masing," katanya.

Tunku Ismail juga mendedahkan sebuah Akademi bola sepak lengkap dengan tiga padang bola sepak sebagai tempat latihan, asrama bagi pemain untuk tinggal sebelum perlawanan serta kolam renang, gimnasium dan kemudahan lain akan dibina tidak lama lagi.

Akademi itu akan melatih bakal pelapis bolasepak yang bakal mewarnai bolasepak negara.

Tunku Ismail berkata terdapat juga rancangan untuk akademi bola sepak tersebut bekerjasama dengan beberapa kelab antarabangsa, mungkin dengan pasukan seperti Boca Juniors di Argentina di mana pemain berbakat akan dihantar untuk latihan di sana.

"Biar saya katakan bahawa Johor FA di bawah kepimpinan saya tidak akan berhenti setakat ini. Kami akan berada di sini untuk jangka masa yang panjang dan akan mencabar pasukan lain bukan sahaja untuk gelaran domestik tetapi juga di rantau ini," katanya.

http://www.sports247.my

TEMURAMAH BERSAMA TUNKU MAHKOTA JOHOR : BAHAGIAN PERTAMA



Usaha untuk membawa Safee Sali menandatangani kontrak bersama Darul Takzim Johor FC di Wisma FAM hanya 24 jam sebelum tarikh akhir FAM adalah untuk menyelamatkan kerjaya pemain tersebut, Presiden Johor FA, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan.

Tunku Ismail berkata kelab Safee iaitu Pelita Jaya FC serta seluruh Indonesia FA menghadapi tindakan yang mungkin diharamkan oleh FIFA.

"Jika kelab atau FA telah diharamkan, anda boleh bayangkan apa yang akan berlaku kepadanya? Dia tidak akan dapat bermain untuk mana-mana pasukan, termasuk pasukan kebangsaan Malaysia.

"Apa yang saya buat adalah menyelamatkan kerjaya dan kehidupan beliau dengan memberinya peluang untuk bermain bersama pasukan kami," katanya di Istana Bukit Pelangi di Johor.

Tunku Ismail menegaskan bahawa baginda tidak memaksa Safee atau mana-mana pemain lain untuk menandatangani kontrak dengan Johor Darul Takzim.

Baginda berkata rundingan telah dilakukan beberapa kali dan Safee dirancangkan bertemu dengan baginda di sebuah hotel di Kuala Lumpur kira-kira jam 9 malam untuk menandatangani kontrak tetapi kerana beliau dalam kem kebangsaan untuk persediaan Piala Suzuki dan tinggal di asrama Wisma FAM, beliau tidak boleh meninggalkan kem selepas pukul 9 malam.

"Saya menghormati peraturan dan oleh kerana beliau tidak boleh keluar, saya memutuskan untuk pergi ke sana sendiri untuk bertemu dengannya serta beberapa pemain yang telah mentandatangani kontrak bersama kami dan memberi mereka sokongan moral dan dorongan.

"Adakah terdapat apa-apa kesalahan dengan apa yang telah saya lakukan? Saya tidak fikir begitu, tetapi jika orang lain marah, maka ia adalah kesalahan mereka kerana tidak mempunyai kemahuan dan kesungguhan untuk menandatangani pemain yang berkualiti," tambah baginda.

Tunku Ismail berkata baginda juga telah menyasarkan tiga lagi pemain yang kini bermain bersama Harimau Muda yang berasal dari Johor dan berminat untuk membawa mereka menyertai pasukan Johor.

Baginda akan membawa mereka ke Johor kerana ia adalah sebuah negeri yang hebat untuk hidup dan menyara kehidupan.

"Johor adalah tempat yang hebat untuk hidup. Terdapat pembangunan besar-besaran di negeri ini dan tiada kekurangan,"katanya.

http://www.sports247.my

TEMURAMAH BERSAMA TUNKU MAHKOTA JOHOR : BAHAGIAN KEDUA (Click)