Social Icons

Tunku Ismail Dimasyhur Tunku Mahkota Johor

28 Jan 2010
Ikrar setia...Tunku Ismail yang dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor berikrar akan sentiasa 

melaksanakan segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat. 

Gambar oleh Hairul Abu Bakar.

JOHOR BAHRU: Anakanda sulung Sultan Johor, Tunku Ismail, dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor semalam di Dewan Singgahsana, Istana Besar, di sini.

Istiadat permasyhuran itu diumumkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab, mengikut Undang-Undang Tuboh negeri Johor, memilih dan melantik seorang waris takhta bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1 fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor, mengikut nasihat Jumaah Diraja, dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," titah baginda. 

Sejurus Sultan Ibrahim selesai bertitah, Tunku Ismail mengangkat ikrar setia dan berjanji akan sentiasa melaksanakan segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat.

Istiadat pemashyuran itu turut disaksikan oleh bonda Tunku Ismail, Raja Zarith Sofiah, dan kerabat diraja.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Dr Prof Jamilah Ariffin; Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot; barisan Exco, Ahli Dewan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Tunku Ismail dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Ibrahim, yang dimasyurkan sebagai Sultan Sabtu lalu berikutan kemangkatan nendanya, Almarhum Sultan Iskandar, pada malam Jumaat lalu.

Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan dilantik sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006.

Tunku Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Utama, Johor Bahru dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru, sebelum meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Antarabangsa Australian, Singapura, dan kemudian melanjutkan pengajian di Sekolah Hale, Perth, Australia antara 1999 dan 2002.

Baginda yang mewarisi minat nenda dan ayahandanya, turut mendapatkan latihan ketenteraan di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, sebagai Pegawai Kadet di sana pada 2003.

Setelah tamat pengajian di IMA, Tunku Ismail dikurniakan pangkat leftenan dan diserapkan ke dalam Angkatan Tentera India, berkhidmat sebagai pegawai dalam Rejimen 61 Cavalry, Jaipur, India.

Tunku Mahkota mencatatkan sejarah apabila baginda menjadi rakyat asing pertama mengetuai pasukan tentera India pada Hari Kebangsaan Republik India pada 26 Jan 2007 serta dipilih oleh Presiden India sendiri untuk mengetuai unit regimen terdiri 400 anggota itu.

Tunku Temenggong Johor dilantik Pemangku Raja



JOHOR BAHRU: Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim hari ini dilantik sebagai Pemangku Raja Johor selama ketiadaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail, di negeri ini.

Pengisytiharan pelantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu dibacakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dalam istiadat pengisytiharan Pemangku Raja di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Pelantikan atas nasihat Jumaah Majlis Diraja itu dilakukan mengikut Fasal 9 (1)(c) dan (3) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Sultan Ibrahim menerusi Menteri Besar turut mengisyhtihar pelantikan Tunku Ismail yang kini berada di luar negara sebagai Pemangku Raja Johor, sekembalinya baginda ke negeri ini, pada 19 Oktober depan.

Pelantikan atas nasihat Jumaah Majlis Diraja itu dilakukan mengikut fasal yang sama.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan kerabat diraja lain.

Antara yang hadir Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, anggota penasihat Jumaah Majlis Diraja, Setiausaha Kerajaan, Johor Datuk Obet Tawil dan barisan Exco kerajaan negeri.

Tunku Idris Iskandar, 24, adalah anakanda ketiga Sultan Ibrahim diisytihar sebagai Tunku Temenggong pada 26 Februari 2010 oleh ayahandanya, semasa baginda bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini. (Click)

Tunku Ismail, 28, pula dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 28 Januari 2010 selepas ayahandanya dimasyhurkan sebagai Sultan Johor berikutan kemangkatan nendanya, Sultan Iskandar Sultan Ismail. (Click) - BERNAMA








Perasmian Legoland meriah

DYMM Sultan Ibrahim disambut rakyat jelata semasa
berangkat tiba merasmikan Legoland, Johor Bahru.
NUSAJAYA - Sultan Johor Sultan Ibrahim malam ini merasmikan Taman Tema Legoland Malaysia, di sini, yang merupakan taman tema pertama seumpanya di Asia.
Perasmian itu dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api selama kira-kira 15 minit dengan hadirin menyaksikannya dalam bentuk tiga dimensi (3D) menggunakan cermin mata khas.
Turut berangkat ke majlis itu permaisuri Sultan Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar gembira menerima 
cenderahati potret baginda daripada bongkah lego yang 
diterima daripada Pihak Legoland sambil diperhatikan Perdana 
Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majl perasmian Taman 
Tema Legoland Malaysia Nusajaya, Johor, malam tadi.
Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Arifin, Pengurus Besar Legoland Malaysia Siegfried Boerst, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai kerajaan.
Terdahulu, Sultan Ibrahim pada majlis itu turut berkenan menerima potret wajah baginda yang dihasilkan menggunakan kepingan logo yang menggunakan 12,600 kepingan logo dan disiapkan dalam tempoh 50 jam oleh pekerja taman tema berkenaan.


Taman tema Legoland Malaysia bernilai RM720 juta dan yang keenam di dunia itu dibuka 15 Sept lepas.

Taman seluas 31 hektar yang menawarkan 40 permainan, pertunjukan dan pameran yang menampilkan blok mainan Denmark itu, akan menjadi satu daripada tarikan utama Iskandar Malaysia, sebuah zon ekonomi khusus yang bersempadan dengan Singapura.
Kira-kira 30 juta blok Lego diguna untuk membina tarikan di taman tema itu. - Bernama

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan ke-30 kepada DYMM Tuanku Sultan Ibrahim dan DYMM Tuanku Raja Zarith Sofiah.


Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 19 September 1982. Majlis persandingan berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Perak pada 12 September 1983 dan Majlis Persandingan di Johor Bahru pada 19 dan 20 September 1983.

Perkahwinan yang membawa erti yang besar, bukan sahaja kepada kedua mempelai, malah kepada kedua-dua negeri Johor dan Perak.

Selama 2 hari, Isnin dan Selasa rakyat Johor telah menyaksikan satu upacara perkahwinan diraja yang gilang gemilang. Jalan-jalan dan bangunan-bangunan dihiasi dengan bendera serta lampu beraneka warna menjadikan Johor Bahru begitu indah sepanjang dua malam tersebut.

Pelamin dibina ditengah-tengah perkarangan Istana dan dikelilingi astaka untuk raja-raja dan tetamu kehormat. Bagi rakyat yang tidak dapat melihat dari dekat, berpuluh buah televisyen diletakkan di sekeliling istana dan menayangkan upacara yang berlangsung secara terus menerus.

Dengan kecantikan yang dimiliki oleh kedua mempelai, tidak hairanlah ramai menganggap bahawa pasangan diraja ini tidak kalah jika dibandingkan dengan pasangan diraja Britain, Putera Charles dan Puteri Diana.

Johor FA dan Johor FC tak bergabung


Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my

PRESIDEN Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan Johor dan Johor FC kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dan tidak akan menggabungkan kedua-dua pasukan itu.

Pengesahan itu merungkai segala spekulasi mengaitkan Johor dan Johor FC yang didakwa akan disatukan untuk beraksi dalam kancah Liga M sekali gus melegakan penyokong kedua-dua pasukan.

Katanya, perancangan rapi sudah dibuat bagi memastikan Johor yang beraksi di Liga Perdana manakala Johor FC yang kekal di Liga Super dibentuk dengan barisan pemain lebih berkualiti dalam usaha mengembalikan kegemilangan era 80an dan 90an bola sepak Johor sudah mendapat lebih 20 penajaan dari syarikat tempatan termasuk dua tajaan syarikat antarabangsa, salah satu daripadanya pengeluar kenderaan terbesar India, TATA.

“Saya sudah merancang mengambil pemain import bertaraf lima bintang beraksi bersama Johor dan Johor FC selain pemain tempatan, terutama anak jati Johor akan dipanggil mewakili kedua-dua pasukan.

“Pada masa ini perbincangan sudah dilakukan dengan ejen pemain import yang mengendali pasukan Liga Sepanyol, Altelico Madrid, George Mendez untuk mencari pemain import berkualiti dan saya lebih gemar mendapatkan pemain dari Argentina dan Brazil.

“Siapa yang mewakili Johor dan Johor FC, biarlah rahsia dan saya janji akan membuat pengumuman November ini. Apapun saya sudah berjanji kepada peminat bola sepak Johor dan Johor FC betapa kedua-dua pasukan itu bakal menjadi kuasa baru bola sepak Malaysia,” katanya selepas merasmikan Liga Johor 2012 di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

TMJ pertahan Sultan Johor bida WWW 1

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mei 2012

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim 

SHAH ALAM - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim bertitah mempertahankan pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh ayanda baginda Sultan Johor sambil menegaskan, kerabat diraja Johor tidak mengambil sebarang wang daripada kerajaan.

"Kerabat diraja Johor tidak ambil wang kerajaan. Sejak era Almarhum Sultan Ibrahim," titah baginda menerusi mesej Twitter lewat semalam.

Baginda juga bertitah bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan perkara itu boleh bertanya kepada Menteri Besar Johor ataupun mana-mana pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Dalam mesej itu, baginda juga bertitah bahawa wang yang diperuntukkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan baginda sendiri dimasukkan ke dalam Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim.

"Tujuan yayasan-yayasan ini ialah untuk membantu rakyat dan untuk membantu Kerajaan Negeri Johor," kata Tunku Ismail sambil menambah, baginda sendiri, sejak menjadi Raja Muda, tidak mengambil "satu sen pun daripada kerajaan, sehingga ke hari ini."

"Ia wang rakyat. Jadi, sebelum membuka mulut, selidik," titah baginda.

Mesej balas Tunku Ibrahim menyusul pandangan diutarakan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin semalam.

Antara lain Nizar menulis bahawa "RM520 ribu untuk plat nombor pendaftaran WWW 1. Tak akan hendak letak kat kereta Proton atau motor kut?"

"Ramai lagi rakyat yang masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang!" kata beliau.
Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri itu juga menulis bahawa "RM520 ribu boleh dibelanjakan membantu rakyat Melayu Johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah PPRT," katanya lagi.

Laporan media menyebut nombor plat kenderaan WWW 1 berjaya dibida oleh Sultan Johor dengan tawaran tertinggi sebanyak RM520,000.

Sultan Ibrahim Ismail mendahului 9,999 pembida lain termasuk Yang di-Pertuan Agong, yang memenangi nombor plat WWW 5 (RM220,000); Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memenangi nombor plat WWW 15 (RM24,200).

Baginda memang dikenali sebagai peminat kenderaan mewah yang memiliki koleksi kereta antik dan model terbaru.

30,000 ikrar taat setia, Sultan Johor terharu


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Jun 2012

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terharu dan sebak dengan kehadiran rakyat dari seluruh negeri itu termasuk masyarakat Orang Asli ke Istana Pasir Pelangi di sini bagi menyatakan ikrar taat setia.

Ketika bertitah, baginda turut menyatakan rasa sayang terhadap rakyat Johor.

"Saya sayang rakyat saya. Tidak ada rakyat yang tidak ada raja.

"Saya ada permintaan untuk melihat rakyat bersatu, tidak kira kaum, mesti bersatu. Bersatu kita kuat, bercerai kita runtuh," titah baginda.

Kira-kira 30,000 sertai perhimpunan Ikrar Taat Setia Sultan Johor yang pada asalnya menyasarkan hanya 20,000 orang. Masyarakat Orang Asli turut hadir.

Kebanyakkan peserta mula berhimpun di pekarangan bangunan Sangkar Kristal, Taman Pelangi bermula jam 11 pagi biarpun perarakan dijadualkan mula jam 1.30 petang.

Laporan Bernama pula menyebut mereka membawa pelbagai sepanduk dan berarak sejauh satu kilometer ke Istana Pasir Pelangi, yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor.

Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor dianjurkan oleh Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung).

Suasana di pekarangan istana yang penuh sesak bertukar menjadi emosional apabila baginda tiba-tiba menjadi sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas kepada hadirin.

"Saya tidak akan melupakan hari yang amat bersejarah seperti hari ini," titah baginda sambil mengesatkan air mata dan laungan "Daulat Tuanku" rakyat yang menghadiri perhimpunan itu terus berkumandang.

Perhimpunan itu sebagai reaksi balas terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.

Sultan Johor berucap pada Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha

Mulia Baginda Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi hari ini.
Terdahulu, baginda menerima lafaz ikrar taat setia wakil Gabung Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan itu.  

Sementara itu, Bendahari Agung Gabung Zaini Atan berkata, mereka amat bangga kerana perhimpunan hari ini berjaya menarik 30,000 rakyat Johor tanpa mengira bangsa dan agama, yang menganggotai pelbagai NGO.

"Kita hanya mengambil masa tujuh hari untuk menganjurkan perhimpunan ini, sebagai usaha kami untuk menunjukkan semangat taat setia dan sayang kami kepada Sultan kami. Jangan cabar Sultan kami," katanya.

Beliau berkata, sejumlah 312 NGO Melayu Johor dan 62 NGO kaum Cina serta 30 NGO kaum India menyertai perhimpunan itu.

Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan, yang turut menghadiri perhimpunan itu, berkata beliau berasa amat bangga dengan sokongan rakyat pelbagai agama dan kaum di negeri ini terhadap Sultan Johor.

Sebahagian daripada lebih 30,000 yang menyertai Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat

Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor, hari ini.
"Perhimpunan hari ini membuktikan bahawa rakyat negeri Johor menyokong penuh institusi kesultanan kerana ia merupakan tulang belakang kepada Perlembagaan negara," katanya.

Tunku Mahkota Johor tutup akaun twitter, semua media sosial


WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Ogos 2012

Tunku Mahkota Johor tutup akaun twitter, semua media sosial
SHAH ALAM - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, pewaris takhta yang aktif berinteraksi dengan rakyat menggunakan dunia siber, bertitah memaklumkan bahawa baginda memutuskan untuk menutup akaun twitter dan kesemua media sosialnya mulai hari ini.

Dalam satu mesej yang dipos kira-kira 4.30 petang tadi, Tunku Ismail berkata, baginda mahu mulai sekarang memfokus kepada kehidupan dan perkara-perkara yang baginda lakukan "secara peribadi."

Tunku Ismail bertitah bahawa baginda percaya bahawa "tindakan-tindakan saya, kecintaan dan dedikasi terhadap Johor lebih bermakna berbanding perkataan (tulisan dan mesej); daripada tugasan, tanggungjawab saya dan apa yang saya lakukan bagi Johor dan rakyat Johor."

"Saya mengucapkan anda semoga berjaya dalam hidup anda. Semoga Tuhan memberkati anda semua," kata baginda yang menggunakan akaun @HRHJohor2 sejak 13 November lalu.

Menerusi akaun twitter, baginda mendengar pandangan rakyat selain memberi komen ke atas isu-isu semasa termasuk membalas pandangan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin berhubung isu WWW 1 yang dibida oleh Sultan Johor.

Berikut ialah mesej penuh Tunku Ismail:

"I would like to take this opportunity to tell You all that I will be closing my twitter account and all social media. Its has been a Pleasure sharing my thoughts, Ideas, Principles and activities with You All. I would like to focus on my Life and the things I do, Privately from now on. I Strongly believe that my Actions, Love, and Dedication towards Johor will speak louder than words; from my Duties, Responsibilities and what I do for Johor and its People. Thank You once again for all the Support. I Wish You All the Best and Success in Life. May GOD Bless You All."

Keputusan Tunku Ismail menerima reaksi bercampur-campur daripada pengikut baginda sebaik sahaja entri itu diposkan.

Setakat jam 5.30 petang tadi baginda mempunyai 54,622 pengikut dan telah pun mengeluarkan 6,763 mesej.

Berikut reaksi beberapa pengikut baginda:

CikSitiZueBee: "@HRHJohor2 All The Best in whatever u do for ur rakyat in Johor.. even I'm not johorian..just wanna say that u r the coolest crownprince :-)."

Imam Abuja: "@HRHJohor2 all the best tuanku!"

Shakila Ezam: "@HRHJohor2 wish you all the best Tuanku! Goodluck! Allah bless you always... Aminnnn. I'm gonna miss you."

Honeyazlan: "@HRHJohor2 My pleasure Tunku...is there any other way to stay in touch wt You, ur highness?"

Noor Azam Shairi: "Better late than never."

Syahidah Adibah: "@HRHJohor2 gonna miss your quotes. May Allah always be with u! Take care."

TMJ: 'Kenapa hanya orang Melayu mahu jatuhkan Raja'


WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Jun 2012

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedih dan kesal dengan sikap segelintir masyarakat Melayu sendiri yang cuba menjatuhkan institusi raja.

Ketika menzahirkan pandangan itu menerusi mesej Twitter hari ini, baginda turut menyuarakan rasa bimbang terhadap nasib masyarakat Melayu sekiranya negara ini menjadi seperti Singapura.

“Saya rasa sedih dan kesal. Kenapa hanya orang Melayu sahaja yang cuba menjatuhkan Raja? Kenapa bangsa lain takda buang masa membuat benda bodoh dan lebih fokus terhadap untuk berjaya dalam hidup.

“Saya nak tengok apa akan jadi kepada Melayu kalau negara yang kita sayang ini jadi macam Singapura. Kalau dah susah, jangan sibuk nak mencari Raja,” tulis baginda lagi menerusi Twitter.

Baginda juga bertitah agar golongan berkenaan sedar dan menerima fakta selain belajar untuk menghargai apa yang dimiliki seterusnya bersyukur.

“Janganlah hidup dalam mimpi. Bangun dan hadapilah kenyataan. Belajar menghargai apa yang anda ada dan bersyukur. Sesungguhnya tidak ada penawar kepada kebodohan,” titah baginda.

Tunku Ismail melahirkan pandangan baginda ini di sebalik isu berkenaan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkenaan dengan pembidaan plat nombor pendaftaran oleh Sultan Johor, masih hangat diperkatakan.

Awal minggu ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap Mohammad Nizar berhubung isu itu.

Sehubungan itu, baginda bertitah mengingatkan kepada wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat supaya menjaga adab dan tingkah laku serta berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan bak kata pepatah ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’.

Semalam, Mohamad Nizar menghantar surat permohonan untuk menghadap Sultan Johor.

Hajat bertemu Sultan Johor termakbul


 NORSHIKIN MOHD SALLEH
11 Jun 2012

Orang ramai yang menyertai Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia 

Sultan Johor, semalam.
JOHOR BAHRU – Dalam suasana sesak ketika Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Sultan Johor di sini semalam, kelibat warga emas bersama kerusi rodanya mencuri pandangan.

Biarpun terpaksa bersesak bersama lautan 30,000 orang ramai, Aishah Mohd Salleh, 65, tidak berputus asa sematamata untuk bersemuka Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. “Saya datang dari Muar dan berangkat menaiki bas seawal jam 8  pagi tadi (semalam). Kami sampai jam 11 tadi bersama rombongan tiga bas dari sana. “Dari rumah lagi memang memasang niat untuk bertemu Sultan biarpun saya tahu, keadaan saya agak terhad,” katanya yang ditemui di  perkarangan Istana Pasir Pelangi, di sini, semalam.

Menurut ibu tunggal ini, niat bertemu Sultan Johor telah lama dipendam biarpun Sultan Ibrahim mencemar duli ke Muar sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang lalu, namun kekangan dirinya menyebabkan tidak dapat bertemu.

Salah seorang orang awam menandatangani sebagai tanda sokongan.
“Bukan tidak pernah bertemu sultan, tapi itu sudah lama. Ketika KMJ lalu tiada siapa membawa makcik biarpun hajat bertemu telah lama disimpan. “Saya nekad walau apapun, saya ingin berjumpa sultan hari ini (semalam),” katanya.

Beliau yang ditemani sepupunya Adam Mat Lih, 64, yang datang dari Kluang bersungguh- sungguh berbaris dibarisan hadapan untuk bertemu Sultan Johor.

Impian Aishah termakbul apabila Sultan Johor berkenan untuk bersalaman dengan rakyat yang hadir ke perhimpunan terbesar yang pernah tercatat itu.

Laguna Mersing dibatal




Mersing: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, kegagalan pemaju Mersing Laguna memenuhi syarat perjanjian, menyebabkan projek bernilai RM22 bilion itu secara sendirinya terbatal.

Titah baginda, berdasarkan laporan diterima, selepas enam bulan, pemaju masih gagal memenuhi syarat asas perjanjian iaitu meningkatkan modal berbayar syarikat RM200 juta.

“Pada 14 April lalu, ketika merasmikan pecah tanah Laguna Mersing, saya sudah menyatakan akan mengawasi sendiri kemajuan projek itu demi memastikan ia dijalankan dengan sempurna.

Gagal penuhi syarat
“Namun, berdasarkan laporan yang saya terima, pemaju gagal memenuhi syarat perjanjian yang ditandatangani pada 25 Februari lalu.

“Dengan kegagalan itu, maka projek berkenaan dengan sendirinya terbatal,” titah baginda yang juga Kolonel Komandan pada sambutan ulang tahun Rejimen Gerak Khas (RGK) Ke-47 di Kem Iskandar di sini, semalam.

Sultan Ibrahim bertitah, menjadi tanggungjawab baginda memastikan rakyat dan negeri Johor mendapat kehidupan yang sempurna dan pembangunan berkualiti serta berfaedah.

Pada masa sama, baginda mahu kerajaan negeri sentiasa berhati-hati dalam menerima dan menilai cadangan pembangunan yang dibawa mana-mana pihak ke Johor.

“Johor sedang pesat membangun dan sentiasa terbuka kepada pemaju yang betul-betul komited, mempunyai kepakaran dan modal yang nyata.

“Sekiranya ada pihak cuba menangguk di air keruh dengan mencari jalan mudah mengaut keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk mereka di Johor,” titah baginda.

Teliti pembelian
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan supaya meneliti setiap pembelian peralatan ketenteraan bagi memastikan ia menepati keperluan serta berkualiti tinggi.

“Dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden, saya ingatkan supaya jangan ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi,” titah baginda.


Sultan Johor dukacita kelengkapan Kor Gerak Khas tidak bermutu



MERSING: Sultan Johor, Sultan Ibrahim melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan saja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi. 

Baginda turut meluahkan rasa kecewa kerana permintaan untuk mempertingkat kelengkapan kor itu tidak diendahkan, seolah-olah Kor Gerak Khas dianaktirikan.

"Saya amat menghargai nilai nyawa anggota Gerak Khas kerana ianya adalah modal insan yang terlatih, namun jika anggota itu dilengkapkan dengan peralatan yang tidak bermutu dan tidak menepati standard spesifikasi, maka peluang untuk mereka terbunuh adalah amat tinggi. 

"Sekiranya perkara ini berterusan yang mana cara pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan, maka saya rasa lebih baik saya mengambil alih pembelian peralatan tersebut," titah baginda. 

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Penglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin.

"Dalam usaha kerajaan mengawal bajet dan perbelanjaan, pihak Kementerian Pertahanan hendaklah meneliti satu persatu pembelian yang dibuat dan memastikan peralatan yang diperolehi bertepatan dengan keperluan dan mempunyai kualiti yang tinggi," titah baginda. 

Sultan Ibrahim diiringi Pengerusi Rejimen Gerak Khas, Brigidier Jeneral 
Effendi Ab Karim memeriksa perbarisan 142 anggota di Kem Iskandar, 
Mersing, semalam.

Di samping itu Sultan Johor juga mengingatkan pihak yang berkenaan supaya tidak mengambil kesempatan dalam usaha pihak tentera melengkapkan kor itu dengan peralatan terkini. 

"Janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga yang berlipat kali ganda," titah Sultan Ibrahim. 

Baginda juga mahu segala rancangan pembangunan rejimen dimaklumkan kepadanya kerana baginda sentiasa mengikuti perkembangan rejimen itu. 

Titah baginda, Kem Iskandar menjadi lokasi lawatannya setiap kali mengunjungi Mersing. - BERNAMA

Hari Keputeraan Sultan Johor ke-54 di Muar


Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my
ABDUL Rahman Dewam (kiri) dan Amran Abd. Rahman menandatangani dokumen untuk serah terima tugas sebagai Pegawai Daerah Muar pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 2 Sept. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memilih untuk menyambut Hari Keputeraan baginda yang ke-54 pada November ini di daerah ini, sekali gus mengisytiharkan secara rasminya bandar ini sebagai Bandar Diraja.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Dewam berkata, tarikh dan tempat sambutan bagi dua acara penting yang dianjur serentak itu akan diumumkan selepas baginda memutuskan perkara berkenaan tidak lama lagi.

"Untuk itu semua kakitangan kerajaan, pemimpin parti politik dan rakyat khususnya di Muar perlu menyahut dan memberi sokongan padu dengan pengisytiharan bandar Muar yang sebelum ini dikenali sebagai Bandar Maharani menjadi Bandar Diraja.

"Ini merupakan satu penghormatan bagi penduduk di Muar kerana bertuah dipilih sebagai Bandar Diraja yang telah diisytiharkan awal tahun ini," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pejabat Daerah Muar di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut turut diadakan acara serah tugas daripada bekas Pegawai Daerah, Amran Abd. Rahman yang kini dilantik sebagai Pegawai Daerah Johor Bahru pada Julai lalu kepada Abdul Rahman.

Abdul Rahman turut mengingatkan penjawat awam supaya komited dengan tugas masing-masing dan semua pihak tanpa mengira ideologi politik dan latar belakang diminta menyokong rancangan menjadikan daerah ini sebagai Bandar Diraja.

Beliau berkata, usaha keras perlu dilakukan untuk memastikan bandar ini sentiasa berada dalam keadaan cantik, bersih dan aman selaras dengan kehendak Sultan Johor yang mahukan bandar ini menjadi contoh kepada daerah lain.

"Dalam pada itu, penduduk Muar beruntung kerana daerah ini bukan sahaja diisytiharkan sebagai Bandar Diraja tetapi bersebelahan Pagoh yang bakal menjadi hab pendidikan utama negara seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai rancangan menjadikan Pagoh sebagai Bandar Universiti dan pusat pertumbuhan baru dalam beberapa tahun akan datang. Kita percaya hab pendidikan dan pusat pertumbuhan yang dirancang di Pagoh itu akan menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.